AM

LALUAN GUA MUSANG-JELAWANG DITUTUP BERIKUTAN RUNTUHAN

18/11/2025 12:13 PM

GUA MUSANG, 18 Nov (Bernama) -- Laluan D29 di Kilometer 11.95 Jalan Gua Musang-Jelawang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan runtuhan tanah.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penutupan laluan tersebut berkuat kuasa sejak semalam sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pengguna diminta menggunakan laluan alternatif iaitu FT08 Jalan Gua Musang-Kota Bharu, FT66 Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli dan FT2743 Jalan Masuk ke Sungai Asap-Bertam-Meranto,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata laluan berkenaan kini dibuka kepada kenderaan ringan sahaja, dengan satu lorong tersedia.

"Jalan sementara itu mula dibina sejak malam tadi dan mula boleh dilalui bermula hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan