EKONOMI

ORKIM MAHU KUMPUL RM92 JUTA MENJELANG PENYENARAIAN SULUNG DI PASARAN UTAMA

19/11/2025 06:10 PM

 

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Orkim Bhd iaitu syarikat pengangkutan marin mahu mengumpul RM92 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 9 Dis, 2025.

Pengerusinya Datuk Abdul Hamid Sh Mohamed berkata daripada jumlah hasil yang diperoleh, kumpulan akan menggunakan sebanyak RM80 juta untuk membeli kapal baharu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan dan pemulihan kapal kumpulan.

“RM1.15 juta akan digunakan sebagai modal kerja untuk membeli bahan api kapal dan kos penyelenggaraan kapal bagi menyokong operasi harian kami.

"Baki hasil (RM10.85 juta) akan digunakan untuk menampung kos IPO dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian,” katanya pada pelancaran prospektus kumpulan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Orkim Cheah Sin Bi berkata syarikat itu telah pun memulakan pengembangan kapalnya bermula dengan penghantaran kapal baharu baru-baru ini dan merancang untuk membeli dua lagi kapal pada tahun depan.

“Kami bermula dengan Orkim Citrine tahun ini dan kami membeli serta menerima penghantaran kapal itu sekitar tiga minggu yang lepas.

"Kini, kapal itu sedang melakukan pelayaran ketiga bersama Petronas dan Pertamina. Tahun depan, kami akan membeli dua lagi kapal. Hasil IPO ini sebenarnya untuk pembelian yang akan kami buat pada tahun depan (yang akan dibiayai) melalui dana dalaman kami dan mungkin juga dana sukuk kami,” katanya.

Cheah turut mengesahkan iaitu dua kapal tambahan yang sedang dalam pembinaan, Orkim Jade dan Orkim Ruby dijadualkan untuk dihantar antara penghujung 2026 dan awal 2027.

IPO Orkim melibatkan 400 juta saham yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 100 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 300 juta saham sedia ada.

Di bawah tawaran runcit, sejumlah 28 juta saham biasa baharu terdiri daripada 20 juta saham yang disediakan untuk orang ramai di Malaysia melalui undian dan lapan juta saham untuk pengarah yang layak, kakitangan dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Orkim.

Tawaran institusi melibatkan 372 juta saham yang terdiri daripada 72 juta saham biasa baharu daripada terbitan awam dan 300 juta saham sedia ada di bawah tawaran jualan.

Daripada 72 juta saham biasa baharu, 50 juta saham diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala 22 juta saham baharu dan 300 juta saham sedia ada diperuntukkan untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih yang lain.

Pada harga IPO sebanyak 92 sen setiap satu, syarikat ini akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM920 juta berdasarkan jumlah modal saham yang diperbesarkan sebanyak satu bilion saham selepas penyenaraian.

Permohonan untuk bahagian terbitan awam dibuka hari ini dan ditutup pada 5 petang pada 26 Nov, 2025.

CIMB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, pengendali bersama, penaja jamin utama dan penaja jamin bersama untuk IPO ini.

RHB Investment Bank Bhd merupakan pengendali bersama dan penaja jamin bersama manakala Affin Hwang Investment Bhd merupakan penaja jamin bersama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan