KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia telah menarik sebanyak RM285.2 bilion dalam pelaburan diluluskan dari Januari hingga September 2025 (9B 2025), peningkatan 13.2 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata prestasi kukuh itu dicapai walaupun berdepan cabaran global, termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan keadaan monetari yang lebih ketat, sekali gus menonjolkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Katanya, sektor perkhidmatan menyumbang bahagian pelaburan terbesar iaitu RM187.9 bilion (65.9 peratus), diikuti oleh pembuatan sebanyak RM93.8 bilion (32.9 peratus) dan sektor utama sebanyak RM3.5 bilion (1.2 peratus).
Ia menambah, sebanyak 4,874 projek telah diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, yang dijangka mewujudkan 152,766 pekerjaan baharu, mencerminkan skala dan keluasan sektor minat pelabur dalam ekonomi Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan prestasi itu sebagai bukti strategi ekonomi Malaysia amat berkesan, sambil menyatakan walaupun aliran modal global menguncup ke tempat lain, Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti pada skala yang besar.
“Ini mencerminkan keyakinan pelabur dalam kestabilan politik dan visi ekonomi kita.
“Apabila pelabur global melihat Asia Tenggara, mereka semakin memilih Malaysia.
“Kita bukan sahaja bersaing dalam ASEAN - kita juga menetapkan penanda aras.
“Pelaksanaan misi utama kita tertumpu di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) adalah untuk menarik pelaburan, sambil menyediakan pekerjaan dan meningkatkan peluang kemahiran bagi memperkasakan perubahan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan bernilai tinggi.
Sementara itu, MIDA berkata pelaburan asing (FI) meningkat 47.5 peratus tahun ke tahun, dengan kenaikan merentasi tiga sektor, iaitu perkhidmatan (122.0 peratus), pembuatan (9.2 peratus) dan industri utama (56.6 peratus), mencerminkan asas daya saing Malaysia dan kluster perindustrian di bawah NIMP 2030.
Katanya, Singapura adalah penyumbang bahagian terbesar FI sebanyak RM52.7 bilion, diikuti oleh China (RM35.8 bilion), Amerika Syarikat (RM11.3 bilion), Kepulauan Virgin British (RM6.6 bilion) dan Jepun (RM4.8 bilion).
Johor menyaksikan pelaburan tertinggi yang diluluskan (RM91.1 bilion), diikuti oleh Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 billion) dan Kedah (RM17.5 bilion).
“Penguasaan Johor sebahagian besarnya disebabkan oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan kedudukannya berhampiran dengan salah satu ekonomi paling maju di Asia,” kata MIDA.
Sementara itu, Selangor dan Kuala Lumpur terus menerima manfaat daripada infrastruktur yang kukuh dan peranannya sebagai hab kewangan dan komersial Malaysia.
“Kekuatan Pulau Pinang terletak pada ekosistem elektroniknya yang matang, dan Kedah pula muncul sebagai penerima manfaat daripada inisiatif pembangunan koridor utara,” katanya.
Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) - Memacu Pertumbuhan Jangka Panjang Malaysia
MIDA berkata sektor tumpuan di bawah rangka kerja NIA menarik sebanyak RM137.9 bilion, mewakili 48.4 peratus daripada pelaburan yang diluluskan.
Katanya, semua 676 projek itu dijangka mewujudkan 49,488 pekerjaan, menunjukkan penyelarasan antara strategi pelaburan dan pembangunan negara.
“Projek di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI dan MIDA menyumbang sebanyak RM159.1 bilion, atau 55.8 peratus, yang merangkumi 1,838 projek yang dijangka mewujudkan 75,068 pekerjaan,” katanya.
Projek Dalam Perancangan dan Bakal Dilaksanakan
Dari Januari hingga September 2025, MITI dan MIDA telah melaksanakan sembilan misi, termasuk lima misi pelaburan dan perdagangan dan empat lawatan rasmi diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meliputi Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Switzerland, India, Rusia, Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat, Itali, Perancis, China dan Belanda.
“Setakat 9 Nov, 2025, MIDA sedang menyelaras 192 projek berpotensi bernilai RM39.0 bilion.
“Sektor perkhidmatan mendahului dengan 119 projek bernilai RM24.4 bilion, manakala pembuatan menyumbang sebanyak 73 projek bernilai RM14.6 bilion.
“MIDA juga sedang berbincang mengenai tambahan RM39.4 bilion dalam petunjuk pelaburan berimpak tinggi - menandakan minat dan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap dasar pro-perniagaan Malaysia serta hala tuju ekonomi jangka panjang,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata projek dalam perancangan yang kukuh dan petunjuk pelaburan mencerminkan perubahan dalam cara pelabur melihat Malaysia.
“Kami bukan lagi sekadar pilihan dalam strategi kepelbagaian pelabur - kami semakin menjadi pilihan utama.
“Apa yang membezakan momentum ini ialah kualiti pelaburan yang kami perolehi: projek berasaskan teknologi dalam infrastruktur digital dan pembuatan termaju yang meletakkan Malaysia lebih jauh dalam rantaian bekalan serantau,” katanya.
Beliau berkata projek yang dirancang sebanyak RM39.0 bilion sedang diselaraskan beserta dengan RM39.4 bilion yang dalam perbincangan lanjut, menunjukkan bahawa keyakinan pelabur kekal kukuh walaupun berdepan cabaran luaran.
Daripada Kelulusan Kepada Pelaksanaan
MIDA berkata antara 2021 dan September 2025, Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan telah meluluskan 4,378 projek pembuatan, dengan 85 peratus (3,724) telah dilaksanakan, 12 peratus masih dalam fasa perancangan, dan tiga peratus tidak dilaksanakan berikutan perubahan dalam hala tuju komersial pelabur.
Kadar pelaksanaan kekal kukuh, dengan lebih 90 peratus projek pembuatan diluluskan dari 2021-2024 telah dilaksanakan.
Sementara itu, tambah MIDA sebanyak 87.2 peratus projek diluluskan pada 2024 dan daripada jumlah itu sebanyak 58.7 peratus diluluskan antara Januari dan September 2025 sedang berjalan lancar - satu kadar yang memberangsangkan, memandangkan ia diluluskan baru-baru ini dan purata masa tunggu selama 18 hingga 24 bulan yang lazimnya untuk pembangunan seumpamanya.
-- BERNAMA
