IPOH, 18 Nov (Bernama) -- Seorang bekas penolong jurutera sebuah syarikat berkaitan kerajaan didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kepentingan peribadi dalam penilaian tender projek pemasangan kabel berjumlah lebih RM4.3 juta, sembilan tahun lepas.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zamhuri Ahmad Shatiry, 51, dan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Zamhuri didakwa memperdayakan jawatankuasa Penilaian Tender Installation and Commisioning of Overhead 33kV 3x150mm2 Aerial Bundle Cable (ABC) from PMU Kampar to PPU Gopeng Industri, For TNB Distribution, Perak.
Zamhuri menyembunyikan kepentingannya di dalam syarikat Gua Besar Sdn Bhd, tertuduh telah menyediakan Bill of Quantities (BQ) bagi pihak syarikat sehingga dianugerahkan tender tersebut bernilai RM4,337,542 di Bilik Mesyuarat Sutera, Jabatan Pembangunan Aset, Bahagian Pembahagian TNB dalam daerah Kinta, 1 Ogos 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai setiausaha mesyuarat penilaian tender pada 1 Ogos 2016, telah membantu syarikat Gua Besar Sdn Bhd menyediakan harga BQ secara terperinci sehingga berjaya memperoleh projek berkenaan.
Siasatan mendapati pada penghujung 2018 selepas projek selesai, tertuduh telah menerima balasan berjumlah RM140,000 melalui tiga keping cek yang diserahkan atas nama dua individu proksi di Old Town White Coffee Kuala Kangsar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Mohd Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di mahkamah sama dalam prosiding berasingan, seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang didenda RM2,000 kerana menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan kerja penyelenggaraan bernilai RM25,000 yang tidak dilaksanakan, tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Zuraime Ramli, 43, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda, selain wang sitaan berjumlah RM24,800 diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
Mengikut pertuduhan pilihan, Zuraime didakwa telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu Sijil Akaun Penerimaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan ICT berjumlah RM25,000, tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu yang mana kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan tidak dilaksanakan.
Kesalahan itu dilakukan di PPD Batang Padang, pada 1 Ogos 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 10 April 2023, PPD menerima Waran Agihan Peruntukan bagi Penyelenggaraan ICT Tahun 2023-PPD Batang Padang berjumlah RM25,000.
Unit Sumber Manusia, ICT dan Pentadbiran Am PPD Batang Padang telah mengemukakan satu kertas cadangan Penyelenggaraan Peralatan ICT di sekolah-sekolah dan PPD Batang Padang bagi 2023 melibatkan 17 sekolah dan PPD Batang Padang berjumlah RM25,000.
Pada 1 Ogos 2023, tertuduh menyediakan dan memperakui dokumen Sijil Akaun Penerimaan yang mengakui bahawa kerja-kerja menyelenggara peralatan dan perkakasan ICT di sekolah-sekolah dan PPD Batang Padang dibekalkan sepenuhnya sedangkan pembekalan tidak dilakukan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM G. Nanthini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
