AM

TIADA ASET KERAJAAN DIGUNAKAN SEMASA KEMPEN PRN SABAH - PM ANWAR

18/11/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa  tiada aset kerajaan digunakan dalam sebarang program semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Anwar berkata penggunaan kemudahan rasmi seperti kereta hanya dilakukan atas faktor keselamatan.

“Tiada program di Sabah itu program kerajaan. Semua kempen saya dijalankan atas nama parti, dan perkara ini sudah dijawab di Parlimen. Kalau begitu, saya hendak guna kenderaan mana? Kenderaan kerajaan diberikan kelonggaran.

“Perdana Menteri mesti menggunakan pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa jua program atas pertimbangan keselamatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai penggunaan aset kerajaan oleh Anwar ketika berkempen di Sabah, baru-baru ini.

Anwar juga menegaskan, beliau sendiri telah mengarahkan supaya kempen parti dalam pilihan raya tidak melibatkan sebarang agensi kerajaan.

“Program kempen tidak melibatkan program kerajaan. Saya larang. Ada program Temu Anwar yang dijadualkan di universiti, tetapi saya batalkan dan tukar tempat kerana tidak mahu universiti secara rasmi terlibat dalam program Temu Anwar,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata siasatan terhadap video kes rasuah yang didakwa melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah masih belum ditutup. Beliau, yang telah menonton video berkenaan, berpendapat terdapat asas untuk kes itu disiasat.

“Yang menyiasat adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menurut SPRM, dengan rujukan Jabatan Peguam Negara, ini adalah kes jenayah, jadi tiada had masa. Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) kena sabar.

“Setakat ini, tiga individu telah didakwa. Tidak semua dilepaskan. Kenapa tiga? Kerana terdapat kes yang compelling dengan alasan dan bukti kukuh. Kes ini tidak pernah ditutup,” katanya, menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status dakwaan kes rasuah tersebut.

Anwar juga memaklumkan bahawa beliau tidak mahu mencampuri proses siasatan dengan mengarahkan agar kes berkenaan didakwa hanya berdasarkan rakaman video yang tular itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan