GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) sedang menyediakan pelan penggantian dan penaiktarafan paip pembetungan secara berperingkat bagi sistem pembetungan uzur di sekitar George Town.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata ia antara langkah yang dilaksanakan IWK bagi memastikan aset-aset pembetungan uzur termasuk paip yang telah dipasang sejak beberapa dekad lalu terus berfungsi dengan cekap dan selamat.
Beliau berkata Loji Rawatan Kumbahan Serantau George Town (PEG227), yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan diserahkan kepada IWK pada 2007, memainkan peranan penting dalam memproses aliran kumbahan dari George Town dan kawasan sekitarnya.
“IWK juga melaksanakan penilaian aset melalui pendekatan pengurusan risiko bagi mengenal pasti paip yang uzur dan berisiko mengalami kegagalan struktur. Kerja penyelenggaraan, penaiktarafan dan pemulihan turut dijalankan di kawasan kritikal berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan prestasi sistem pembetungan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Teh Lai Heng (PH–Komtar) berhubung rancangan penggantian paip uzur pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.
Secara keseluruhan, IWK komited melaksanakan program penggantian dan penaiktarafan aset pembetungan secara berfasa, mengikut keutamaan teknikal dan kelulusan peruntukan, bagi memastikan sistem pembetungan George Town kekal berdaya tahan dan memenuhi piawaian kebangsaan.
-- BERNAMA
