PENAMPANG, 19 Nov (Bernama) -- Mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) Remysta Jimmy Taylor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata keutamaan itu selari dengan keperluan penduduk di kawasan DUN dalam Parlimen Penampang itu, yang sering berdepan dengan masalah banjir sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.
“Kalau kita tengok di sini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah umumkan dana untuk mempersiapkan projek tebatan banjir itu. Jadi, itu satu yang mesti dipercepatkan kerana penempatan di kawasan ini sering dikaitkan dengan isu banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian media semasa menghadiri program Tinjauan Mesra DUN Moyog bersama Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Pasar Tamu Donggongon, di sini hari ini.
Selain itu, Remysta akan memberi tumpuan untuk memastikan projek-projek penambahbaikan infrastruktur di kawasan DUN berkenaan dilaksanakan secepat mungkin, sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya kali ini.
Menerusi Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan berjumlah RM6.9 bilion untuk Sabah, yang antaranya meliputi RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link serta RM220 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini, manakala RM39 juta bagi Fasa 2 projek tebatan banjir di Sabah.
Mengulas mengenai penyertaan pertamanya di gelanggang politik dalam pilihan raya kali ini, Remysta mengakui berasa gementar namun namun sokongan pimpinan tertinggi PKR serta PH, mendorongnya untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada penduduk setempat.
“Kalau pertama kali tu memang ada gemuruh sikitlah, tapi dengan sokongan daripada Timbalan Presiden pun ada di sini (turun padang), membuatkan saya sangat gembira.
“Boleh pergi mengadakan lawatan serta mendengar masalah dihadapi masyarakat setempat,” katanya dan menambah persediaan serta gerak kerja jentera PH dalam berkempen berjalan lancar setakat ini.
DUN Moyog yang mempunyai 31,083 pemilih berdaftar itu menyaksikan pertembungan 12 penjuru pada PRN Sabah ke-17. Kerusi itu dimenangi Datuk Ignatius Darell Leiking di bawah tiket Warisan dengan majoriti 5,935 undi pada PRN Sabah ke-16.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal pada 25 Nov.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
| PENCALONAN/NOMINATION - SABAH |
| N26: MOYOG: SABAH: 31,084 |
(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking, Warisan Plus-Warisan. Majoriti: 5,935)
-- BERNAMA
