DUNIA

DUA JENIS TREN UNTUK ECRL MALAYSIA SIAP DIPASANG DI DALIAN, CHINA

19/11/2025 03:12 PM

DALIAN, 19 Nov (Bernama-CMG) -- Dua jenis tren yang akan digunakan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia iaitu "Electric Multiple Unit" (EMU) dan lokomotif elektrik buatan syarikat China, siap dipasang di bandar Dalian, timur laut China.

Tren jenis EMU berwarna biru dan putih dengan corak flora serta fauna tempatan itu diilhamkan dari gelombang laut, bersesuaian dengan identiti landskap ikonik di kawasan Pantai Timur.

Sistem kawalan jaringan kereta apinya menggunakan perlindungan "dual-redundancy", mampu memastikan perjalanan kereta api berada pada tahap keselamatan yang tinggi melalui pemantauan terhadap pelbagai komponen utama seperti sistem penghelaan, voltan tinggi dan peralatan sokongan.

Sementara itu, lokomotif elektrik yang turut siap dipasang dilengkapi sistem interaksi pintar manusia-komputer (HCI) dan sistem perlindungan keselamatan, yang berfungsi menjalankan pemantauan bertepatan tinggi sehingga tahap milisaat terhadap pelbagai operasi komponen seperti brek, pemadaman kebakaran dan isolasi.

Menurut maklumat yang dikongsi, kedua-dua jenis tren ini akan beroperasi di laluan ECRL yang direka sepanjang lebih 600 kilometer, bertindak sebagai “jambatan darat” yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan