EKONOMI

PENGENDALI AKUARIUM AQUAWALK MULA DISENARAIKAN DENGAN SUSUT 1 SEN DARI HARGA IPO

19/11/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Aquawalk Group Bhd yang membuat kemunculan sulung di Pasaran Ace Bursa Malaysia hari ini, mencatatkan harga pembukaan pada 30 sen sesaham, satu sen di bawah harga tawaran awam permulaannya (IPO) iaitu 31 sen dengan 26.49 juta saham diniagakan.

Bahagian awam IPO itu telah terlebih langgan sebanyak 6.22 kali, dengan permohonan bumiputera melebihi peruntukan mereka sebanyak 5.68 kali dan bahagian bukan bumiputera sebanyak 6.77 kali.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datuk Simon Foong berkata Aquawalk pada masa ini tidak mempunyai syarikat tersenarai yang setara dengan mereka di Bursa Malaysia, yang mungkin telah mempengaruhi persepsi pasaran awal.

“Kami berharap, dengan masa yang diberikan, pasaran akan menyedari penilaian yang sepatutnya kami terima,” katanya pada sidang akhbar selepas penyenaraian Aquawalk Group.

Bagaimanapun, beliau berkata penyenaraian itu membolehkan Aquawalk mempercepatkan rancangan pengembangannya dan mengejar peluang di masa depan dengan lebih agresif.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya, kumpulan itu berhasrat untuk membangunkan sebuah oceanarium (akuarium besar hidupan air masin) baharu di Kota Kinabalu, Sabah dan sebuah akuarium di Surabaya, Indonesia, sambil mempertingkatkan Aquaria KLCC yang menjadi tonggak utama mereka dengan pameran penguin rockhopper baharu yang dijangka siap menjelang pertengahan 2026.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Daryl Foong berkata kumpulan itu terus mencatatkan gabungan pengunjung tempatan dan antarabangsa yang positif di semua akuariumnya, dengan pengunjung antarabangsa di kemudahan Phuket secara sejarahnya sekitar 50 peratus dan kadangkala meningkat kepada 60 hingga 65 peratus semasa musim puncak untuk melancong.

Beliau menambah Aquaria KLCC juga terus menunjukkan perkembangan yang sihat, disokong oleh insentif dan usaha promosi pelancongan oleh kerajaan.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan kenaikan harga tiket, beliau berkata sebarang pelarasan mungkin akan dipertimbangkan selepas siapnya tangki utama baharu di Aquaria KLCC, yang akan memberikan asas yang jelas untuk semakan harga tiket.

“Apabila menyemak harga tiket, kami menjadikan pasaran antarabangsa dan kemudahan yang setanding seperti Singapore Oceanarium, Hong Kong Ocean Park dan lain-lain sebagai penanda aras. Fokus kami adalah untuk memastikan nilai yang kukuh untuk wang, sama ada dari segi kandungan pendidikan, pengayaan atau pengalaman pengunjung secara keseluruhan,” katanya.

Daryl berkata hasil daripada IPO akan disalurkan ke beberapa projek utama, termasuk tangki penguin di Aquaria KLCC, kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf di Phuket dan Kuala Lumpur, serta pembangunan tarikan baharu di Surabaya dan Sabah.

Tangki penguin dijangka siap pada separuh kedua 2026, manakala akuarium di Surabaya dan Kota Kinabalu disasarkan masing-masing siap pada 2027 dan 2028.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan