JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM KELANTAN CATAT 29 KES RAMPASAN DADAH LIBAT NILAI LEBIH RM22 JUTA

19/11/2025 09:38 PM

KOTA BHARU, 19 Nov (Bernama) -- Usaha agresif Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengekang kegiatan penyeludupan terus membuahkan hasil apabila 29 kes rampasan dadah melibatkan nilai RM22.87 juta direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata pencapaian itu antara kejayaan terbesar pihaknya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan komitmen tinggi pasukannya memerangi jenayah berbahaya itu.

Beliau berkata kejayaan terbaharu kastam melalui operasi membanteras penyeludupan dadah dan kenderaan tidak berkastam di sekitar Balakong, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Dalam operasi bermula 14 hingga 16 Okt, pasukan penguat kuasa berjaya menahan tiga buah kenderaan Porsche Panamera, Nissan Teana dan Toyota Estima serta sebuah motosikal berkuasa tinggi Honda CB400, dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM395,910,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas ialah dadah seberat 18.322 kilogram bernilai RM1.5 juta yang ditemukan di dalam Toyota Estima di belakang sebuah kondominium di Balakong.

Wan Jamal berkata jumlah keseluruhan rampasan kenderaan dan dadah mencecah RM1.72 juta dengan kejayaan itu tercetus hasil maklumat awam sebelum pasukan melakukan intipan terhadap Toyota Estima yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dadah di kondominium sama.

“Selepas lapan jam pemantauan tanpa sebarang pergerakan, pemeriksaan dilakukan dan pasukan menemukan sebuah beg pakaian serta tong lut sinar berisi pelbagai jenis dadah.

"Pasukan sebenarnya melakukan intipan berkaitan kenderaan tidak berkastam namun berjaya mengesan kenderaan yang dijadikan stor penyimpanan dadah. Penemuan itu boleh dianggap sebagai bonus,” katanya.

Beliau berkata kes berkaitan kenderaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan