KUCHING, 20 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan awam yang cemerlang tidak diukur daripada saiz, tetapi kesan positif dibawa kepada masyarakat, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan untuk membina perkhidmatan yang cekap, tangkas dan berdasarkan hasil dengan memudahkan proses, menyisihkan perkara tidak memberi nilai serta mengutamakan inisiatif yang benar-benar membawa perubahan.
“Pengurusan yang bagus, pendigitalan dan inovasi saling berkait. Amalan yang baik memperkemas proses dan meningkatkan kecekapan, manakala digitalisasi membantu dalam membuat keputusan berasaskan data dengan lebih cepat.
“Inovasi semakin berkembang kini dan memperkasakan pegawai untuk berfikir lebih kreatif serta menambah baik perkhidmatan bagi memberi impak besar kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Penjawat Awam Sarawak 2025 di sini hari ini.
Abang Johari berkata menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, negeri itu memodenkan tadbir urus dengan menyepadukan sistem, memperkasakan penggunaan data dan mengautomasikan proses.
Beliau berkata setakat ini, 59 peratus perkhidmatan kerajaan negeri telah tersedia dalam talian, menandakan kemajuan yang stabil ke arah pendigitalan perkhidmatan awam sepenuhnya.
“Menjelang 2030, saya menjangkakan setiap sektor ekonomi Sarawak daripada pertanian, industri, perkhidmatan dan tadbir urus menjadi digital, menjadikan inovasi serta teknologi sebagai sebahagian daripada kaedah kami berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari menekankan pembinaan kapasiti kekal menjadi asas dalam memperkasakan perkhidmatan awam Sarawak.
Beliau berkata menjelang 2026, tumpuan utama kerajaan negeri ialah memperkukuh kecekapan tadbir urus sambil memupuk keupayaan baharu dalam bidang seperti transformasi digital, penggubalan dasar yang dipacu data, daya tahan iklim dan inovasi berpaksikan rakyat.
“Untuk mencapai visi ini, kerajaan Sarawak telah menjalin kerjasama strategik dengan institusi global terkemuka termasuk Henley, Cambridge, Oxford dan London School of Economics yang memberikan pegawai pendedahan kepada amalan terbaik dalam kepimpinan, tadbir urus dan dasar awam,” katanya.
-- BERNAMA
