AM

BUTIK KE-60 SITI KHADIJAH DIBUKA DI BANGSAR, PERKENAL RUANG FLAGSHIP EKSKLUSIF

20/11/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jenama pakaian ibadah terkemuka, Siti Khadijah terus memperkukuh jaringan fizikalnya dengan membuka butik ke-60 di Bangsar hari ini, menampilkan ruang flagship eksklusif berkonsepkan The Home of Siti Khadijah di Kuala Lumpur. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn Bhd Mohammad Munzir Aminuddin berkata konsep berteraskan gaya eksklusif itu menghimpunkan warisan jenama, inovasi serta nilai kerohanian yang mengukuhkan reputasi Siti Khadijah sebagai peneraju telekung berkualiti tinggi. 

"Pengalaman butik ini diperkaya melalui Galeri Pelawat Mini Siti Khadijah, galeri kedua selepas di Laman Khadijah, mendekatkan pelanggan dengan 1,001 cerita di sebalik perjalanan jenama.

“Setiap kisah disampaikan melalui sesi penceritaan eksklusif, yang menjadi teras dalam memperkukuh hubungan bersama rakan korporat dan pelanggan.," katanya seperti dipetik dalam kenyataan oleh Enda Group hari ini. 

Menurut kenyataan itu pembukaan rasmi butik itu bermula hari ini hingga 30 Nov turut menyaksikan pelancaran tiga koleksi telekung terbaharu iaitu Flair Dityaa, Broderie Safiye dan Broderie Rania SE.

Kesemua koleksi diperkenalkan melalui pertunjukan fesyen mini yang turut menampilkan seleksi eksklusif ‘Noah Top’ dan ‘Elira Lines Outerwear’, memperlihatkan kepelbagaian rangkaian gaya hidup Siti Khadijah.

Menurut kenyataan itu, sebagai penghargaan kepada pelanggan dan komuniti #FamiliSK, 100 pengunjung terawal bakal menerima hadiah percuma selain menikmati potongan 20 peratus bagi pembelian di luar promosi meliputi produk lelaki, wanita dewasa dan kanak-kanak.

Majlis perasmian turut dihadiri rakan korporat serta wakil industri termasuk CelcomDigi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ambank Group dan beberapa organisasi lain yang bersama-sama menyokong pembangunan jenama berkenaan.

Enda Group, yang dahulunya dikenali sebagai Siti Khadijah Holding Sdn Bhd, ditubuhkan pada 2009 dengan permulaan jenama Siti Khadijah sebelum berkembang merangkumi Hegira pada 2018 dan Anbot pada 2022, masing-masing memfokuskan segmen hijab dan produk aktiviti luar.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan