TOKYO, 21 Nov (Bernama) -- Harapan Malaysia untuk meraih emas acara badminton Deaflympics 2025 berkecai apabila beregu campuran negara, Edmund Teo-Boon Wei Ying tersingkir di separuh akhir dalam aksi penuh mendebarkan di sini hari ini.
Pada aksi di Keio Arena Tokyo itu, Edmund-Wei Ying bermula baik dengan menang set pertama 21-14 sebelum beregu Korea Selatan, Shin Kyungduk-Park Min Kyeong berjaya bangkit memenangi set kedua 21-16 dan 21-13 pada set penentuan.
Wei Ying berkata mereka sudah memberikan fokus terbaik dengan mengumpul mata sebanyak mungkin setiap kali mendapat peluang, namun terpaksa akur kepada gandingan Korea Selatan itu.
“Sebenarnya kami sudah cuba kekal fokus, terutama ketika mendahului pada set kedua tetapi berdepan kesukaran untuk mengekalkan rentak.
“Kami tidak terlalu tertekan walaupun menjadi beregu terakhir negara dengan fokus untuk mencari mata demi mata untuk ke final, namun rezeki tidak menyebelahi,” katanya kepada pemberita menerusi jurubahasa isyarat di sini hari ini.
Edmund-Wei Ying bagaimanapun masih berpeluang meraih gangsa bagi menebus kekecewaan dengan perlawanan tempat ketiga dan keempat akan berlangsung petang ini menentang Abhinav Sharma-Jerlin Jayaratchagan dari India.
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) sebelum ini menyasarkan tiga pingat emas menerusi acara beregu wanita, beregu campuran dan boling berpasukan lelaki.
Semalam, beregu wanita yang diwakili Wei Ying bersama Foo Zoo Tung iaitu juara bertahan temasya berkenaan tewas di suku akhir kepada pasangan bukan pilihan dari China, Jiang Jialei-Zhang Heng Yan, 13-21, 8-21.
Acara boling berpasukan lelaki akan berlangsung pada Ahad ini.
-- BERNAMA
