AM

KERAJAAN PERKASA HIBURAN DAN SUKAN SELARI SYARIAT ISLAM - ZULKIFLI

20/11/2025 11:45 PM

MARANG, 20 Nov (Bernama) -- Usaha menyediakan platform hiburan dan sukan yang selari dengan tuntutan syariat Islam terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat khususnya golongan muda dapat menikmati bentuk hiburan yang baik dan aktiviti sukan bermanfaat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah berkenaan dianggap penting dalam menarik minat generasi muda bagi mendekati program berteraskan nilai murni dan bimbingan yang selaras dengan ajaran Islam.

"Apa yang kita lakukan ialah menyediakan platform yang sesuai dan selari dengan tuntutan syariat iaitu bentuk hiburan yang baik dan sukan yang bermanfaat. Kita juga telah menampilkan tokoh sukan positif seperti Sonny Bill Williams ( bekas bintang ragbi All Blacks) dan  Khabib Nurmagomedov (bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) bagi kategori lightweight) serta tokoh seni yang menjadi contoh teladan iaitu Yusuf Islam atau Cat Stevens. 

"Hal ini bertujuan menarik minat anak-anak muda. Dalam Islam, kesenian dan hiburan itu dibenarkan manakala sukan pula digalakkan namun ada garis panduan. Jadi inilah yang kita usahakan supaya semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda dapat terlibat dalam sektor ini dengan bimbingan, panduan dan garis panduan yang tepat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Festival Kesenian Islam dan Program Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di di Asrama Darul Falah Bukit Payong di sini hari ini.

Justeru, Zulkifli berkata kerajaan sedang berusaha meneliti aspek berkenaan dengan mengadakan pelbagai program berbentuk hiburan dan sukan yang selari dengan tuntutan syariat.

 "Banyak program telah dilaksanakan seperti kempen Subuh Macam Jumaat bersama Sonny Bill Williams, pertemuan dengan Khabib dan sebagainya dan ia mendapat sambutan yang sangat baik," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata festival selama tiga hari bermula hari ini turut berjaya menghimpunkan lebih 900 peserta melibatkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara.

Beliau berkata pelbagai acara diadakan termasuk pidato, sajak, tilawah, alunan azan, nasyid dan pelbagai segmen lain bertujuan mengimarahkan kesenian Islam serta menyerlahkan bakat generasi muda.

"Festival itu menerima sambutan amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap platform kesenian berteraskan syariat.

"Mesej utama program adalah untuk merancakkan kesenian Islam melalui pendekatan yang baik selari dengan tuntutan agama dan mampu menarik penyertaan lebih ramai anak muda," katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan