Oleh Suraidah Roslan
SANDAKAN, 21 Nov (Bernama) -- Karamunting yang sinonim dengan kawasan pesisir pantai dan hidangan laut segar pada harga berpatutan berpotensi dimajukan sebagai hab makanan laut, menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Datuk George Hiew Vui Zin.
George, 46, yang berhasrat menjadikan Karamunting sebagai pusat tumpuan makanan laut berkata inisiatif itu mampu merancakkan ekonomi komuniti nelayan setempat sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting itu berkata kedudukan geografi kawasan itu yang terletak di pesisir pantai menjadikannya lokasi strategik untuk dijadikan pusat pendaratan hasil laut.
Beliau berkata ketiadaan jeti khusus untuk kapal nelayan berlabuh dan menurunkan hasil tangkapan menyebabkan nelayan setempat terpaksa bergantung kepada kemudahan sedia ada yang tidak teratur.
“Dengan adanya pusat ini nanti, semua hasil nelayan boleh dijual di sini pada harga yang munasabah tanpa penglibatan orang tengah. Selain itu, ia juga berpotensi menarik lebih ramai pelancong yang ingin menikmati makanan laut segar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pembangunan hab makanan laut itu bukan sahaja meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan malah mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan belia, khususnya dalam perniagaan makanan laut mahupun bekerja sebagai tukang masak di restoran.
“Ramai anak muda di Karamunting terpaksa merantau ke luar negara untuk mencari pekerjaan. Dengan adanya hab makanan laut ini, lebih banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan untuk mereka,” katanya.
George yang dalam misi mempertahankan DUN Kamunting berkata Pasar Karamunting sedang dalam proses naik taraf dan pembangunan hab makanan laut akan dilaksanakan sejajar dengan perancangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selepas siap kelak.
Katanya pembangunan hab makanan laut itu akan melibatkan kawasan seluas 1.62 hektar dari Pasar Karamunting sehingga ke Kampung Pukat.
Mengulas rekod perkhidmatannya, George berkata sepanjang dua penggal sebagai wakil rakyat, beliau telah berjaya mewartakan tiga kampung iaitu Kampung Karamunting, Kampung Bokara dan Kampung Air bagi memastikan penempatan penduduk yang lebih teratur.
Karamunting yang mempunyai seramai 19,615 pemilih berdaftar untuk PRN ke-17 adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Batu Sapi selain Sekong dan terletak kira-kira 340 kilometer dari Kota Kinabalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N54: KARAMUNTING: SABAH: 19,615
1. Wong Tshun Khee (Warisan)
2. Datuk George Hiew Vun Zin (PH-PKR)
3. Datuk Chin Kim Hiung (BN-MCA)
4. Datuk Chew Kok Woh (KDM)
5. Soo Ming Soon (PIS)
(2020: George Hiew Vun Zin: Warisan Plus-Warisan: Maj: 2,479)
(Kini : PH-PKR)
-- BERNAMA
