POLITIK

PRN SABAH: RUJI TAWAR LIMA TEMA, 10 PERKARA DALAM MANIFESTO UNTUK MEROTAI

22/11/2025 08:42 PM

TAWAU, 22 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Datuk Ruji Ubi menawarkan lima tema dan 10 perkara dalam manifesto untuk kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata lima tema dalam manifesto “Demi Merotai Sejahtera” itu ialah pendidikan, ekonomi, kesihatan, sosial serta infrastruktur.

“Dalam jangka masa pendek, saya ingin menjadikan Merotai sebagai pusat peradaban dan pengembangan ilmu. Perkara ini hasil perbincangan bersama tokoh agama, di samping itu wujud keperluan untuk sekolah menengah ditambah di Merotai, ada anak-anak terpaksa bersekolah jauh ke bandar Tawau dan ke Felda Umas.

“Kedua, dari aspek ekonomi, untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan khusus kepada belia kampung, kita boleh libatkan misalnya Jabatan Tenaga Kerja untuk mengadakan karnival kerjaya di sini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dari aspek kesihatan, Ruji berjanji akan mewujudkan pusat rawatan hemodialisis di Merotai kerana terdapat keperluan tinggi untuk menyediakan pusat berkenaan.

“Pesakit dari Kijang, Brumas, Umas semuanya terpaksa pergi ke bandar Tawau... bayangkan pesakit ini terpaksa keluar seawal 4 ke 5 pagi untuk mendapatkan rawatan hemodialisis di Tawau, selepas itu, pada hari ketiga terpaksa buat lagi rawatan,” katanya.

Beliau berkata jika diberi mandat menjadi wakil rakyat, Bilik Gerakan Utama PH di Tanah Merah di sini akan dijadikan sebagai Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai.

“Saya juga menawarkan perkhidmatan pusat khidmat mobilisasi wakil rakyat di kawasan utama misalnya Kampung Haji Matahir termasuk Kampung Kijang secara berjadual agar penduduk tidak perlu ke pusat utama.

“Dari segi sosial, saya tawarkan pewujudan pusat rekreasi serta pembinaan kompleks sukan di Merotai, kerana di Merotai ini, kita hanya punya padang estet, ini perlukan iltizam dan perlukan ADUN yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tema kelima menurutnya berkaitan kemudahan infrastrukur antaranya memasang lampu solar, pembinaan jeti, menaik taraf jalan, sistem perparitan serta menangani isu bekalan air bersih.

Ruji berkata Merotai mampu menjana ekonomi jika transformasi Pekan Merotai berjaya dilaksanakan berikutan lokasi yang strategik seperti kawasan Benoni, Papar.

Beliau berkata wakil rakyat yang dipilih pada kali ini merupakan penentu kepada masa depan generasi akan datang.

“Kita tidak mahu kerajaan yang dibentuk untuk lima tahun akan datang ini mengulangi ataupun masih mewarisi perkara yang sama, kita sama-sama jadi saksi, kita mahu perubahan itu dilakukan secara drastik dan radikal,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

  

PENCALONAN - SABAH

N72: MEROTAI: SABAH: 26,179

 

1. Rhyme @ Reymie Kassim       (PIS)

2. Hasan Haris                             (PN-PAS)

3. Sarifuddin Hata                        (Warisan)

4. Datuk Ruji Ubi                          (PH-PKR)

 

(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,587)

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan