SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak sembilan projek pelaburan bernilai RM5.52 bilion telah dilaksanakan di Selangor hasil promosi luar negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Oktober lepas.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata projek itu dijangka mewujudkan 1,300 pekerjaan dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan makanan, logistik dan teknologi digital.
“Antara 2023 dan 2025, Perdana Menteri telah mengetuai 33 misi promosi pelaburan ke 23 negara dan berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM493.58 bilion.
“Sehingga Januari 2025, pelaburan bernilai RM123.8 bilion telah diluluskan di seluruh negara, dan sehingga Oktober, sebanyak sembilan projek pelaburan bernilai RM5.52 bilion telah direalisasikan (dilaksanakan) di Selangor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) yang ingin tahu jumlah pelaburan yang direalisasikan di Selangor hasil promosi luar negara oleh Perdana Menteri.
Ng berkata secara dasarnya pelaksanaan projek pelaburan yang diluluskan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung kepada skala projek dan keadaan ekonomi.
“Projek yang direalisasikan merujuk kepada projek yang telah mula beroperasi, dalam pembinaan sama ada bangunan atau kilang, atau sedang dalam proses pemasangan mesin dan peralatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kebanyakan memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani sewaktu misi promosi di luar negara seperti World Expo Osaka 2025 serta melalui inisiatif dalaman negeri yang sejajar dengan usaha Perdana Menteri untuk menarik pelaburan asing.
“MOU diperingkat Persekutuan diselaraskan oleh pihak MIDA. Bagaimanapun, tiada maklumat khusus yang mengesahkan pelaksanaannya di Selangor,” katanya.
-- BERNAMA
