GERIK, 21 Nov (Bernama) -- Usaha merapatkan jurang pendidikan di kawasan pedalaman memasuki era baharu apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan sekolah terapung pertama negara di Tasik Banding bulan lepas, satu pendekatan inovatif yang menyasarkan akses pendidikan lebih menyeluruh untuk anak-anak Orang Asli.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif di bawah Program Khas (ProKhas) KPM itu bukan sekadar menyediakan ruang pembelajaran alternatif, malah turut menjadi simbol komitmen kementerian dalam meneroka model pendidikan baharu yang lebih inklusif, fleksibel dan berteraskan komuniti.
Beliau berkata sekolah terapung itu dirangka sebagai kaedah intervensi yang lebih dekat dengan komuniti bagi menangani cabaran sedia ada, khususnya usaha menarik minat murid Orang Asli ke sekolah serta memahami isu-isu yang menghalang mereka daripada mengikuti pendidikan formal.
“Alhamdulillah, setakat ini respons amat positif. Masih ada anak-anak di pedalaman yang sedang kami usaha bawa keluar, dengan harapan apabila mereka melihat rakan-rakan datang ke sekolah, minat itu turut terbit dalam diri mereka.
“Di sinilah bermulanya komitmen kami untuk memastikan tiada seorang pun anak-anak yang terpinggir. Selain itu, pendekatan sekolah di atas bot terapung adalah untuk membina kepercayaan kami dengan komuniti terlebih dahulu. Pastinya, kami ada perancangan yang lebih signifikan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ProKhas: Program Sekolah Terapung Tasik Banding, Gerik.
Fadhlina berkata proses pengajaran bagi sekolah khas itu juga disesuaikan dengan keperluan pelajar yang berbeza umur dan tahap kemampuan dengan guru-guru menggunakan pendekatan pedagogi berbeza untuk memastikan pembelajaran lebih berkesan.
“Sebenarnya guru-guru ini terlatih dari segi pedagogi dan mereka tahu bagaimana untuk melaksanakan pembelajaran di dalam kelas itu, khususnya yang disebut sebagai pedagogi terbeza.
“Jadi, sepertimana yang saya sebut tadi, kami ada dua tahap. Kami asingkan terlebih dahulu kerana mereka ini mempunyai tahap-tahap yang berbeza. Selepas itu guru-guru akan mula membuat penilaian dan melihat bagaimana pendidikan mereka ini akan diteruskan dengan peningkatan dan progresif sifatnya dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan sekolah terapung itu, bukan usaha sementara sebaliknya KPM akan terus melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berkembang sebagai model pendidikan jangka panjang yang mampan dan mampu melindungi masa depan pendidikan anak-anak Orang Asli.
Sementara itu, Muhammad Syauqi Zainal Abidin yang juga seorang daripada guru yang ditugaskan bagi mendidik anak-anak Orang Asli di sekolah itu berkata program berkenaan melibatkan tiga kampung iaitu Charuk Bus, Tebang dan Chiong, dengan 47 murid berumur antara enam hingga 16 tahun sejak 13 Okt lepas.
“Kelas ini dijalankan pada Isnin hingga Rabu setiap minggu, dengan kehadiran dua guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Kemar K11. Kelas pula akan dibahagikan kepada dua iaitu pelajar yang kecil (terdiri prasekolah) dan besar (sekolah menengah).
“Jadi, biasanya kami berikan lembaran kerja yang mudah, maksudnya supaya mereka boleh mengenal huruf dan huruf vokal, lepas itu dari semasa ke semasa kami akan tingkatkan lembaran kerja seperti mengeja suku kata dan pendekatan yang digunakan adalah berbentuk didik hibur seperti bermain dan menyanyi,” katanya.
Beliau berkata sebelum sekolah terapung wujud, murid-murid Orang Asli terpaksa menaiki bot selama 20 minit diikuti perjalanan darat untuk ke SMK RPS Banun, yang memerlukan kos tambahan dan menyebabkan sebahagian mereka tinggal di asrama jauh daripada ibu bapa.
Seorang lagi pelajar Rosilawati Lambok, 14, dari Kampung Charuk Bus pula menzahirkan rasa gembira dengan langkah kerajaan mewujudkan sekolah berkenaan kerana ia lebih dekat dengan rumah berbanding sebelum ini dia perlu ke Manjung untuk mendapatkan akses pendidikan.
“Gembira sebab dekat dengan rumah…suasana di sekolah ini juga seronok dapat jumpa kawan-kawan dan saya sangat suka aktiviti mewarna yang dibuat oleh cikgu di sekolah ini,” katanya.
-- BERNAMA
