GUA MUSANG, 22 Nov (Bernama) -- Sebuah jambatan sementara merentasi Sungai Peralong, Kuala Betis di sini dibina bagi menghubungkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli di beberapa penempatan pedalaman yang terputus hubungan selepas jambatan asal runtuh akibat kepala air, pada Rabu.
Penghulu Rancangan Pengumpulan Semula Kuala Betis Rodzi Asod berkata jambatan itu menghubungkan penduduk dari Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob ke bandar bagi menjalankan urusan harian.
Beliau berkata jambatan itu kerap tenggelam ketika hujan lebat dan runtuh setiap kali berlaku kepala air.
"Kami berharap akan ada peruntukan untuk membina laluan baharu yang lebih selamat tanpa perlu berkongsi laluan dengan kenderaan berat.
"Jambatan asal dibina oleh syarikat balak 40 tahun lepas untuk kenderaan berat syarikat berkenaan dan sejak itu menjadi laluan utama penduduk," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati laluan telah dibaik pulih dengan pembinaan jambatan sementara malah ia dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan ringan termasuk kereta, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
-- BERNAMA
