AM

BAHASA INGGERIS CATAT KELULUSAN TERTINGGI UP-DLPS 2025

21/11/2025 04:05 PM

KUCHING , 21 Nov (Bernama) -- Bahasa Inggeris merekodkan keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS) melibatkan murid tahun enam yang dilaksanakan di seluruh negeri pada 15 dan 16 Okt. 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata Bahasa Inggeris mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 90.97 peratus diikuti Sains (84.71 peratus) dan Matematik (61.01 peratus). 

Beliau berkata Bahasa Inggeris juga menunjukkan prestasi paling konsisten dalam tiga mata pelajaran itu menunjukkan keberkesanan inisiatif meningkatkan penguasaan bahasa tersebut. 

“Sebanyak 5,241 murid atau 18.07 peratus memperoleh gred A bagi Bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media keputusan UP-DLPS di sini hari ini. 

Sagah berkata Matematik kekal sebagai mata pelajaran paling mencabar, terutama untuk sekolah di pedalaman dengan 1,734 murid atau 5.98 peratus memperoleh A. 

“Prestasi Sains menggalakkan tetapi bilangan pencapaian cemerlang masih rendah menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pemahaman konsep dan pembelajaran berasaskan soalan. Hanya 199 murid (0.69 peratus) memperoleh A dalam mata pelajaran ini,” katanya. 

Pada 2025, sebanyak 1,050 sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta melaksanakan Progam Dwibahasa Sarawak (DLPS) melibatkan penyertaan 29,002 murid tahun enam dalam UP-DLPS Matematik dan Bahasa Inggeris manakala 29,000 lagi menduduki kertas Sains. 

Penilaian itu menilai penguasaan dan pemahaman murid dalam Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang diajar dalam dwibahasa. 

Sagah berkata Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak menerima keputusan itu dengan terbuka dan semangat konstruktif.

“Semasa meraikan pencapaian cemerlang, terutamanya bagi Bahasa Inggeris, kita mengenal pasti keperluan mendesak untuk memperkukuh prestasi terutamanya Matematik, dalam kalangan sekolah luar bandar yang memerlukan program intervensi drastik dan bersasar,” katanya. 

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan