AM

TIGA JAJAHAN DI KELANTAN DIRAMAL BANJIR BERMULA SEMALAM HINGGA 26 NOV - JPS

22/11/2025 12:03 PM

KOTA BHARU, 22 Nov (Bernama) -- Tiga jajahan di Kelantan, iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kota Bharu, diramal berdepan banjir monsun susulan hujan berterusan tahap waspada yang bermula semalam hingga 26 Nov ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ramalan tersebut melibatkan tiga lembangan sungai utama yang berisiko mengalami peningkatan paras air sekiranya hujan lebat berterusan.

“Jajaran yang dijangka terjejas ialah Pasir Mas (Lembangan Sungai Kelantan), Pasir Puteh (Lembangan Sungai Semerak) dan Kota Bharu (Lembangan Sungai Kemasin),” menurut kenyataan itu.

JPS memaklumkan pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan.

"Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa," menurut JPS.

Orang awam turut disaran mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook : PublicInfoBanjir.

Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan dan Terengganu hingga Rabu ini (26 Nov).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan