AM

DUA PROJEK DENAI SUNGAI KEBANGSAAN DI PAHANG BERJAYA DISIAPKAN TAHUN INI

16/11/2025 02:57 PM

RAUB, 16 Nov (Bernama) -- Dua projek di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Pahang telah berjaya disiapkan tahun ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sebanyak RM850,000 diperuntukkan bagi melaksanakan projek berkenaan, iaitu Denai Sungai Lipis di sini dan Sungai Paya Pagar di Taman Awam Bera.

Beliau berkata DSK yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sungai, malah menjadi tarikan rekreasi setempat melalui aktiviti berteraskan alam semula jadi.

“Program ini memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk lebih peka dan terlibat secara langsung dalam usaha memastikan sungai sentiasa terpelihara. Ia turut disambut baik kerajaan negeri, pejabat daerah dan komuniti sehingga kawasan sekitar kembali hidup,” katanya kepada Bernama pada majlis perasmian Denai Sungai Lipis di Batu Malim di sini hari ini.

Beliau berkata program DSK ini akan diteruskan pada 2026 dan 2027 bagi memperluas usaha pemeliharaan sungai serta penglibatan masyarakat.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Akmal Nasrullah berkata projek Denai Sungai Lipis melibatkan kerja menaik taraf laluan sepanjang 450 meter dan disasarkan mampu menarik sehingga 2,000 pengunjung sebulan dalam usaha memelihara serta memanfaatkan sumber alam secara lestari.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan Projek Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting, Bentong kepada Kerajaan Negeri Pahang, selain menyampaikan Anugerah Khas Sumber Air kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Malim. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan