AM

FESTIVAL MEGA ILINDUNGU AKAN DITERUSKAN DI SELURUH NEGARA, BERI KESEDARAN SKIM PERKESO

22/11/2025 06:21 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneruskan Festival Mega iLINDUNGu di seluruh negara dalam usaha memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pelbagai kemudahan dan skim perlindungan sosial di bawah pertubuhan itu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata festival itu penting kerana masih ramai pencarum yang tidak mengetahui manfaat penuh Perkeso termasuk hak membuat tuntutan sekiranya berlaku kemalangan, bencana kerja atau keilatan.

"Dengan adanya festival ini, kita mewujudkan kesedaran kepada orang ramai manfaat menjadi pencarum Perkeso, malah pelbagai lagi skim baharu akan diperkenalkan antaranya Skim Perlindungan 24/7 dan Skim Lindung Kasih," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Festival Mega iLINDUNGu di sini hari ini.

Festival yang berlangsung selama tiga hari hingga esok itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz.

Sim berkata sambutan yang diterima di Pulau Pinang sangat meriah dan pihaknya menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang penganjuran berkenaan dengan lebih 13,000 orang telah hadir setakat ini.

Beliau berkata Perkeso turut menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan sepanjang festival itu bagi membantu menyelesaikan tunggakan caruman dan menggalakkan pematuhan ter­hadap tanggungjawab keselamatan sosial pekerja.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sebanyak 70 majikan hadir untuk membuat rayuan bayaran FCLB melibatkan RM205,185 dan daripada jumlah itu, Perkeso memberi pengurangan 80 peratus.

"Edisi pertama festival di Shah Alam selama tiga hari pada bulan lepas merekodkan kutipan caruman lebih RM251,000 meliputi 466 majikan, jika mengikut perangkaan jumlah keseluruhan FCLB bagi semua majikan itu ialah RM2.08 juta tetapi diberikan diskaun.

"Kebiasaannya, diskaun FCLB ini ditawarkan pada April setiap tahun yang kadangkala dilanjutkan hingga Mei, bagaimanapun pelaksanaan khas semasa festival kali ini membuktikan komitmen Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk memastikan tiada pekerja di Malaysia terpinggir dan tidak dilindungi," katanya.

Selain menawarkan khidmat semakan caruman, pengunjung juga boleh membuat pendaftaran skim LINDUNG, mengunjungi kaunter nasihat, menjalani sesi temu duga dan saringan kesihatan serta menyaksikan persembahan kebudayaan di Festival Mega iLINDUNGu itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan