BANTING, 22 Nov (Bernama) -- Hampir 6,000 penerima telah mendapat manfaat bantuan peralatan daripada Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor, sejak ia dimulakan pada tahun 2008.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V. Papparaidu berkata program yang dilaksanakan itu, antara usaha kerajaan negeri dalam memastikan setiap rakyat Selangor mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup melalui program yang tersusun dan berimpak tinggi menerusi keusahawanan.
“Program ini bukan sahaja memberikan peralatan, tetapi juga memberi keyakinan, harapan dan peluang kedua kepada ribuan keluarga untuk membina masa depan baharu.
“Justeru, kerajaan negeri sentiasa memperkukuh dasar keusahawanan melalui pendekatan ‘empowerment-driven economy’, iaitu ekonomi yang digerakkan oleh pemberdayaan rakyat,” katanya dalam ucapan dalam bagi merasmikan Karnival Blueprint dan I-SEED KitaSelangor 2025 di Dataran Pantai Morib di sini, hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San dan Timbalan Pengarah Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor Nujaimatu'l Aliah Mohd Jais.
Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor merupakan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan keluarga B40, dengan bantuan yang disalurkan dalam bentuk peralatan atau mesin bagi membantu keluarga menambah pendapatan melalui perniagaan yang sedang dijalankan.
Borang permohonan boleh didapati di Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor.
Sementara itu Papparaidu berkata sebanyak 567 usahawan India di negeri itu telah dibantu menerusi Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED), yang bermula 2021.
Beliau berkata bantuan berkenaan bukan sekadar dari aspek modal dan peralatan tetapi juga melalui latihan, bimbingan dan sokongan berterusan.
Papparaidu berkata penganjuran program itu kali ini menghimpunkan lebih 300 peserta, termasuk usahawan mikro, agensi sokongan, institusi pembiayaan, pemain industri digital, serta badan keselamatan dan kesihatan awam.
“Menerusi karnival ini, para peniaga bukan hanya mempamerkan produk tetapi juga turut sedang membina keyakinan baharu, membuka rangkaian baharu, mempelajari teknik pemasaran moden dan yang paling penting, mereka sedang membina masa depan yang lebih cerah untuk keluarga dan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
