KUCHING, 22 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) untuk menambah bilangan anggota Kabinet Sarawak menerusi pindaan Perlembagaan Negeri akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berkata pindaan itu perlu memandangkan pertambahan tanggungjawab pentadbiran negeri serta keperluan untuk pengurusan portfolio yang lebih fokus.
Beliau berkata RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Seni Persembahan, Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa persidangan DUN, yang akan berlangsung dari 24 Nov hingga 3 Dis.
“Tugas dan tanggungjawab Kabinet yang semakin berkembang serta amat besar pasti memerlukan bilangan menteri ditambah. Sebahagian menteri memegang dua portfolio, ada yang tiga dan ucapan penggulungan mereka sangat panjang,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pramajlis di sini hari ini.
Mohamad Asfia berkata pembesaran Kabinet adalah tepat pada masanya susulan peningkatan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan terdahulu.
“Susulan persidangan terakhir, apabila bilangan ADUN ditingkatkan daripada 82 kepada 99, maka sudah masanya untuk menambah bilangan anggota Kabinet,” katanya sambil menambah bahawa pembesaran itu tidak akan menjejaskan jawatan timbalan menteri.
Mohamad Asfia berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat bantahan terhadap pembesaran Kabinet namun pada masa sama menegaskan Sarawak memerlukan struktur pentadbiran yang lebih kukuh agar bersesuaian dengan trajektori politik dan ekonominya.
Beliau berkata pertimbangan undang-undang mesti memberi laluan kepada realiti politik, sambil menekankan bahawa aspirasi negeri yang semakin berkembang menuntut keupayaan tadbir urus yang dipertingkatkan.
“Harapan rakyat semakin meningkat. Sasaran 2030 untuk Sarawak menjadi wilayah utama di Malaysia dan menjadi pemain utama dalam tenaga dan sebagainya di ASEAN yang semua ini meningkatkan keperluan untuk menambah dan memperluas Kabinet Negeri.
“Tujuan kita adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai wilayah terkemuka yang berperanan dalam ASEAN, jika tidak di peringkat antarabangsa. Ia bukan sekadar destinasi kita, ia adalah masa depan kita,” katanya.
RUU lain yang akan dibentangkan semasa persidangan itu termasuk RUU Perbekalan (2026), RUU Perbekalan Tambahan (2025), RUU Bangunan (Pindaan) dan RUU Pengurusan Sumber dan Sisa Lestari 2025, berserta Belanjawan Sarawak 2026.
-- BERNAMA
