BATU PAHAT, 22 Nov (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambil langkah menaik taraf infrastruktur bekalan air di dua sekolah di Kampung Haji Bajuri di sini, sebagai inisiatif meningkatkan tekanan air selain dapat mengelakkan pembaziran.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Ir Zulkiflee Omar berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Gambut dan Sekolah Agama (SA) Gambut, masing-masing menerima peruntukan RM50,000 melalui program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) terletak dalam kawasan Kampung Haji Bajuri yang juga kampung angkat syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan itu.
Beliau berkata pelaksanaan kerja-kerja sejak pertengahan tahun itu bagi menggantikan saluran air paip uzur yang berusia puluhan tahun, selain melakukan penukaran pili air sedia ada kepada pili atau peranti cekap air, yang mampu menjimatkan penggunaan bekalan utiliti di kedua-dua sekolah berkenaan, sekali gus mengurangkan beban dalam pembayaran bil bulanan.
“Pada masa sama pemasangan tangki air baharu turut dilaksanakan serta PAAB juga menyumbang sistem penuaian air hujan (SPAH) bertujuan memupuk warga sekolah dalam penggunaan air hujan sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan seperti pembersihan kawasan sekolah dan tanaman.
“PAAB turut mendidik kesedaran dan menggalakkan amalan hijau kepada warga sekolah dengan pembinaan rumah hijau bagi tanaman organik serta sumbangan tong kitar semula yang mendorong mengamalkan gaya hidup lestari serta mengurus sisa melalui kitar semula yang mampan,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Kesedaran PAAB bersempena Karnival Keusahawanan SK Gambut di sini hari ini.
Turut hadir Guru Besar SK Gambut Herlman Mohd Karim, Ketua Bahagian Korporat PAAB Rozaifee Abu Zaharim dan Ketua Kampung Gambut Sharif Ahmad.
Zulkiflee berkata pihaknya juga komited untuk menjadikan SK Gambut dan SA Gambut sebagai penanda aras penarafan sekolah hijau di Batu Pahat dan pada masa sama mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat daripada aspek pendidikan, infrastruktur dan kelestarian alam.
“Kami di PAAB ini juga menaik taraf pusat sumber di SA Gambut dengan menggantikan pintu serta membaiki lantai beberapa kemudahan lain yang telah lama, selain memberikan sumbangan enam unit televisyen pintar untuk sesi pembelajaran di SK Gambut,” katanya yang juga anak kelahiran Kampung Haji Bajuri.
Beliau memaklumkan program itu turut melibatkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysian Green Tech & Climate Change Corporation (MGTC), Ranhill SAJ Sdn Bhd, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan SWM Environment Sdn Bhd.
Selain itu, TEKUN Nasional, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Putra Specialist Hospital Batu Pahat.
Zulkiflee berkata PAAB kini dalam usaha untuk menaik taraf infrastruktur loji rawatan air serta pemasangan paip utama di Batu Pahat setelah Ranhill SAJ menandatangi Pelan Penstrukturan Semula Bekalan Air Negeri Johor pada 2009.
-- BERNAMA
