KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memuji langkah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengatur semula tarikh konvokesyen bagi membolehkan penuntut pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu selari dengan pendirian kerajaan yang sentiasa berusaha memastikan hak mahasiswa untuk mengundi tidak terjejas.
“Pihak universiti telah pun membuat keputusan untuk anjak hari konvokesyen, walaupun di peringkat awal ada yang kata tak setuju, ada yang kata setuju tetapi akhirnya ia dapat diselesaikan kerana mereka memahami keperluan (penuntut),” katanya kepada pemberita selepas program Makan Malam Santai Bersama Menteri Pendidikan Tinggi di sini hari ini.
Zambry berkata keputusan berkenaan turut memberi kelegaan kepada pelajar yang tersepit antara tanggungjawab akademik dan kewajipan mengundi memandangkan 60 peratus penuntut universiti berkenaan berasal dari Sabah.
Mengulas mengenai cadangan menjadikan pelajar sebagai kategori undi pos, beliau berkata perkara berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Di peringkat KPT tiada perbincangan dengan SPR kerana undi pos tertakluk kepada kriteria tertentu,” katanya.
SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
