POLITIK

PRN SABAH: PH LANCAR MANIFESTO PETANG INI

23/11/2025 08:24 AM

KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini.

Berdasarkan jemputan media, “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” itu akan dibentangkan oleh Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud di sebuah hotel di sini, pada 3 petang.

Manifesto kemudian akan dilancarkan secara bersama oleh kepimpinan tertinggi PH Sabah.

Pada PRN Sabah ke-17, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada 12 calon PKR, DAP (lapan) dan Amanah (satu). 

Semalam, Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto bertema “Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1)” di Bangunan UMNO Sabah.

Sebelum itu, Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto bertema “Kasi Bagus Sabah” pada 21 Nov di Putatan, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkenalkan manifesto berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” bertema “Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan” pada 17 Nov.

Parti Warisan (Warisan) juga akan melancarkan manifestonya petang ini di Penampang. 

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal berlangsung pada 25 Nov.

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, sebanyak 1,784,843 pemilih layak menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini, melibatkan 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php   

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan