AM

BUNG MOKTAR GABUNG SEMANGAT KEMPEN, HIBURAN DEKATI PENGUNDI LAMAG

23/11/2025 01:51 PM

KINABATANGAN, 23 Nov (Bernama) -- Ketika calon lain memilih kaedah konvensional berkempen menerusi ceramah politik, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil pendekatan lebih santai dengan mengadakan konsert Himpunan Hanya Ada Yang Satu.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu mendekati pengundi, khususnya belia dengan menampilkan kehadiran penyanyi rock legenda tanah air Datuk Amy Search untuk menghiburkan penduduk setempat.

Program santai yang berlangsung malam tadi itu diadakan sempena seminggu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Suara emas penyanyi legenda itu berjaya menarik ribuan hadirin, memenuhi ruang lokasi program Himpunan Hanya Ada Yang Satu, yang turut dihadiri peminat seusia dengan penyanyi berkenaan.

Kehadiran Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman mencipta gelombang tersendiri dalam kempen BN di Lamag, sekali gus menunjukkan bahawa hiburan mempunyai tempat dalam demokrasi moden, terutama sebagai ruang yang menyatukan masyarakat pelbagai peringkat umur dalam suasana santai.

Pengunjung yang hadir menyifatkan acara sebegitu sebagai satu pengalaman yang menggabungkan semangat kempen dengan elemen hiburan yang sihat, sekali gus memberi dimensi baharu kepada cara parti mendekati masyarakat setempat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim berkata penganjuran program sebegini mencerminkan realiti baharu politik Sabah dalam mengadakan kempen yang inklusif, meriah dan dekat dengan jiwa rakyat.

“Ia bukan lagi sekadar pentas ceramah tetapi ruang sosial yang mencipta hubungan emosi antara rakyat dan calon,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N58: LAMAG: SABAH: 13,859
 
1. Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-UMNO)
2. Johainizamshah Johari (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Salahuddin @ Salehuddin Anoi (PIS)
4. Mohd Saifullah Lokman (Warisan)
5. Mohd Ismail Ayob (Bebas/IND)
6. Mazlin Madali (PN-Bersatu)
 
(2020: Datuk Seri Bung Moktar Radin: BN-UMNO: Maj: 661)
 
-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan