AM

KEJAYAAN TIDAK HANYA KELULUSAN AKADEMIK, TETAPI KEBIJAKSANAAN MENYESUAIKAN DIRI - RAJA MUDA PERLIS

23/11/2025 04:48 PM

ARAU, 22 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kejayaan tidak bergantung pada kelulusan akademik semata-mata tetapi kebijaksanaan menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran dalam era dunia tanpa batasan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) juga mahu siswazah universiti itu menjadi contoh rakyat Malaysia yang berilmu, berdisiplin dan beradab serta mampu bersaing pada peringkat dunia tanpa meninggalkan adat serta nilai ketimuran. 

“Kemajuan tidak seharusnya mengorbankan nilai bangsa. Dalam mewujudkan aspirasi dunia, bahasa, budaya dan maruah asal usul mesti dipertahankan. 

“Ilmu yang diperoleh di UniMAP harus dimanfaatkan untuk membina masa depan lebih baik demi kemajuan diri, industri, negara dan seluruh manusia,” titah baginda semasa menangguhkan sidang satu Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP di sini hari ini. 

Yang turut berangkat Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah siswazah yang berjaya ialah mereka yang mampu menghubungkan teori dengan realiti dan mengaplikasikan ilmu untuk manfaat masyarakat.

“Kepakaran harus digunakan untuk memimpin inovasi, memupuk nilai kemanusiaan dan meningkatkan kesejahteraan sejagat. Itulah maksud hakiki intelektual berwawasan dunia,” titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah negara memerlukan mereka yang bukan sekadar mengkaji teori di makmal tetapi mampu berfikir secara strategik serta mempengaruhi dasar, masyarakat dan industri dengan hasil penyelidikan yang membawa pembaharuan bermanfaat kepada komuniti global.

Terdahulu, anakanda baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail diisytiharkan sebagai Pro Canselor UniMAP pada sidang satu istiadat itu.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan UniMAP kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain itu, Raja Muda Perlis mengurniakan Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Dengan Kepujian, iaitu kepada Nik Nuraina Fadhilah Nik Muhammad Nasir dan Syafiqah Nabihah Massuwan.

Sebanyak 3,568 graduan menerima ijazah dan diploma pada Istiadat Konvokesyen Ke-20 UniMAP yang berlangsung dari hari ini hingga 25 Nov melibatkan lapan sidang di Dewan Tuanku Canselor.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan