AM

PRABN KELUARKAN AMARAN BANJIR UNTUK TUMPAT MULAI KHAMIS

23/11/2025 11:54 PM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan “Amaran Banjir” bagi beberapa kawasan di Tumpat, yang dijangka mengalami banjir bermula Khamis dan Jumaat ini.

PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi aras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di tiga lokasi dalam jajahan berkenaan.

“Antara kawasan berisiko ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Kelantan meliputi Padang Rokma, Beach Temalang dan Chenderong Batu.

“Turut dijangka terjejas ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu,” menurut kenyataan PRABN.

Seterusnya, banjir dijangka berlaku di beberapa kampung rendah sekitar Sungai Golok termasuk Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan.

Sehubungan itu, PRABN dalam kenyataan itu menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada, mengikuti arahan agensi pengurusan bencana dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang PublicInfoBanjir serta Facebook @PublicInfoBanjir.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan