AM

BEBERAPA LALUAN UTAMA DI PADANG BESAR DITUTUP SEMENTARA UNTUK KENDERAAN RINGAN - POLIS

23/11/2025 05:53 PM

KANGAR, 23 Nov (Bernama) -- Beberapa laluan utama di Padang Besar ditutup sementara kepada semua kenderaan ringan berikutan peningkatan paras air setakat 4 petang ini, susulan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata laluan itu ialah Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, jalan menghala Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek Kaki Bukit, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam dan Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Agrovet Perlis.

"Selain itu, berlaku runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian akibat hujan lebat menyebabkan laluan berkenaan tidak selamat untuk dilalui dan ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan serta penilaian keselamatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri menasihati orang ramai menggunakan laluan alternatif dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang risiko keselamatan.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) Padang Besar akan terus mengeluarkan makluman terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan