KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Cadangan pembinaan empangan baharu, yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Sabah, dilihat sebagai langkah strategik bagi menangani krisis bekalan air yang berlarutan di Kota Kinabalu serta kawasan lain di negeri itu.
Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata inisiatif itu bukan sahaja penting untuk keperluan pembangunan semasa, tetapi juga bagi memastikan keselamatan bekalan air jangka panjang penduduk serta sektor perindustrian dan perumahan.
“Saya percaya pembinaan empangan baharu perlu dilakukan kerana seperti yang kita lihat, Kota Kinabalu telah lama menghadapi masalah dan krisis bekalan air.
“Kita percaya ia adalah tindakan yang tepat untuk menangani isu ini supaya rakyat Sabah, berhak dan layak mendapat bekalan air sewajarnya selain bagi pembangunan masa depan sektor perindustrian serta kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai komitmen PH Sabah, yang menyenaraikan pembinaan empangan baharu sebagai satu daripada keutamaan dalam manifesto bagi menangani isu-isu asas dihadapi rakyat, khususnya masalah bekalan air yang berlarutan.
PH hari ini melancarkan manifesto bertemakan “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” mengandungi 10 perkara utama yang disenaraikan di bawah tujuh agenda, demi memastikan rakyat Sabah menikmati kemajuan sewajarnya.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Phoong bersama Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.
Phoong berkata walaupun projek empangan memerlukan penilaian teliti termasuk pematuhan ketat terhadap Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), inisiatif berkenaan perlu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang yang kritikal bagi mengelakkan rakyat Sabah menghadapi krisis sama setiap tahun.
Beliau berkata pembangunan pesat di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya juga menuntut langkah strategik dan proaktif bagi memastikan kelestarian sumber air negeri.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada 12 calon PKR, DAP (lapan) dan Amanah (satu).
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal berlangsung pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
