EKONOMI

PM ANWAR TIBA DI KENYA BAGI SINGGAHAN TERAKHIR LAWATAN RASMI KE AFRIKA

23/11/2025 10:57 PM

Oleh M. Saraswathi

NAIROBI, 23 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Nairobi, Kenya, pada jam 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) singgahan terakhir beliau dalam rangka lawatan rasmi ke tiga negara Afrika.

Pesawat yang dinaiki Anwar dan delegasi mendarat di State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta dan disambut oleh Ketua Protokol bagi Kenya Severine Luyali dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad.

Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri jamuan rasmi yang dihoskan oleh Presiden Kenya, Dr William Samoei Ruto.

Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pada Isnin, Anwar akan diberikan sambutan rasmi negara dan juga mengadakan pertemuan empat mata dengan Ruo.

Selepas mesyuarat berakhir, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan dokumen kerjasama, termasuk dalam pelancongan, serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Nairobi.

Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika dan Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya di Nairobi.

Kenya, yang terletak di bahagian timur Afrika, bersempadan dengan Sudan Selatan di bahagian barat laut, Ethiopia di utara, Somalia di timur, Lautan Hindi di tenggara, Tanzania di barat daya, dan Tasik Victoria serta Uganda di bahagian barat.

Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

Anwar dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi pada petang Isnin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan