Daripada M.Saraswathi
NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan majlis sambutan peringkat negara di State House, kediaman rasmi Presiden Kenya William Samoei Ruto.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan mesyuarat dua hala.
Selepas selesai mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta dokumen kerjasama, antaranya dalam bidang pelancongan serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Nairobi City Council.
Perdana Menteri turut dijadualkan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika di sini dan Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan Malaysia dan delegasi perniagaan.
Kenya, yang terletak di bahagian timur Afrika, bersempadan dengan Sudan Selatan di bahagian barat laut, Ethiopia di utara, Somalia di timur, Lautan Hindi di tenggara, Tanzania di barat daya dan Tasik Victoria serta Uganda di bahagian barat.
Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Anwar dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi pada petang ini, mengakhiri lawatan ke tiga negara benua Afrika.
-- BERNAMA
