Oleh Khatijah Jistoh
TAWAU, 24 Nov (Bernama) -- Membawa stetoskop dan melakukan pemeriksaan kesihatan ketika berkempen rumah ke rumah bagi sesetengah pihak mungkin bukan sesuatu yang luar biasa untuk memikat hati pengundi.
Namun, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, 38, berkata latar belakangnya sebagai doktor perubatan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi khidmat kesihatan kepada penduduk setempat menerusi program ziarah sihat.
“Ini bukan sekadar kempen tetapi sudah menjadi sebahagian diri saya. Merawat pesakit itu tugas saya, kebetulan tercalon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan saya gunakan kesempatan ini untuk berjumpa masyarakat sambil merawat dan memberi pendidikan kesihatan," katanya kepada Bernama.
Dr Andi Md Shamsureezal berkata sekiranya diberikan mandat, beliau akan terlibat turun padang melakukan pemeriksaan asas seperti tekanan darah, menyemak ubat-ubatan serta memberikan khidmat nasihat.
"Agenda kesihatan penduduk adalah antara fokus pembangunan di DUN Tanjung Batu selain infrastruktur serta ekonomi," katanya yang juga bekas Pengarah Hospital Lahad Datu.
Dr Andi Md Shamsureezal berkata beliau juga berhasrat untuk mewujudkan pasukan perubatan bergerak terdiri daripada doktor, jururawat dan ahli fisioterapi.
“Penting untuk kita ajar penjaga cara bagi membantu pesakit membuat latihan fisioterapi di rumah, mereka susah bergerak ke hospital,” katanya yang akan berdepan pertandingan lima penjuru di Tanjung Batu.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Apas Dr Elmiariezan Ardan, 35, turut menumpukan perhatian kepada aspek kesihatan dan kebajikan dalam pembangunan sosial di kawasan itu.
“Kami menziarahi beberapa rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8 di sini, menyantuni warga emas yang sakit dengan melakukan pemeriksaan awal kesihatan selain menyemak ubat-ubatan yang diambil serta turut memberi khidmat nasihat kesihatan.
“Kami juga memberi perhatian terhadap isu dibangkitkan penduduk seperti bantuan kebajikan kepada mereka yang diberhentikan atas sebab tertentu. Golongan ini kita akan cuba bantu,” katanya yang bersaing dengan lima lagi calon di DUN Apas.
Dr Elmiariezan yang memiliki sebuah klinik di Tawau berikrar akan meneruskan aktiviti menyantuni masyarakat melalui pemeriksaan kesihatan awal sekiranya diberikan mandat.
“Tiada masalah bagi saya sebab sudah mulakannya sejak beberapa tahun lepas, memang sentiasa dalam hati saya ingin dekat dengan masyarakat,” katanya.
DUN Tanjung Batu antara empat DUN yang terletak di bawah Parlimen Kalabakan selain Kukusan, Sebatik dan Merotai.
Sementara itu, DUN Apas berada dalam Parlimen Tawau selain Sri Tanjong serta Balung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
