EKONOMI

ALIRAN KELUAR DANA ASING DI PASARAN ASIA CECAH US$6.73 BILION MINGGU LEPAS

24/11/2025 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kalangan pelabur asing menjadi penjual bersih di lapan pasaran Asia bagi minggu berakhir 21 November 2025 dengan aliran keluar dana asing berjumlah US$6.73 bilion atau meningkat kira-kira 1.9 kali berbanding minggu sebelumnya.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menerusi Laporan Aliran Dana bagi minggu itu berkata untuk minggu keenam berturut-turut, Taiwan mencatat aliran keluar bersih pelabur asing berjumlah US$4.55 bilion pada minggu lepas iaitu yang juga terbesar sejak awal Mac lepas serta tertinggi di rantau berkenaan pada minggu lepas.

Korea Selatan pula menyaksikan minggu ketiga aliran keluar bersih pelabur asing berjumlah US$2.30 bilion atau meningkat kira-kira 1.7 kali berbanding minggu sebelumnya.

“Bagi Thailand, minggu lepas adalah minggu keempat berturut-turut aliran keluar dana asing yang mencecah US$108.5 juta manakala Vietnam terus mencatat aliran keluar dana asing sejak akhir Julai lepas yang berjumlah US$72.3 juta pada minggu lepas,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata kebanyakan indeks pasaran yang dipantaunya juga mencatat penutupan dagangan lebih rendah minggu lepas dengan 16 daripada 20 pasaran terbukti merosot.

Tiga indeks dengan prestasi terbaik adalah PSEI Filipina (7.4 peratus), VSE Ho Chi Minh Vietnam (1.2 peratus) dan SENSEX India (0.79 peratus).

Bagaimanapun, tiga pasaran dengan prestasi paling lemah adalah Hang Seng Hong Kong (-5.1 peratus), KOSPI Korea Selatan (-3.9 per cent) dan Shenzen CSI 300 China (-3.8 peratus).

Dalam pada itu, FBMKLCI Bursa Malaysia ditutup rendah -0.5 peratus.

Malaysia yang menyaksikan kehadiran semula pelabur asing ke pasaran pada dua minggu lepas yang kemudiannya menjadi penjual bersih semula dengan melepaskan ekuiti domestik bernilai RM1.03 bilion.

Pelabur asing menjadi penjual ekuiti pada setiap hari kecuali Isnin (RM17.6 juta) manakala Selasa (RM458.5 juta) mencatat aliran keluar terbesar dan diikuti oleh Jumaat (RM377.7 juta), Rabu (RM204.1 juta) serta Khamis (RM11.1 juta).

“Hanya dua sektor mencatat aliran masuk bersih pelabur asing minggu lepas iaitu perladangan (RM148.4 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM79.6 juta) manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih pelabur asing melibatkan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM377.2 juta), utiliti (RM254.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM106.3 juta),” katanya.

Selain itu, institusi tempatan menjadi pembeli bersih sebanyak RM1.01 bilion selepas mencatat jualan bersih RM318 juta di Bursa Malaysia pada minggu sebelumnya.

Peruncit tempatan juga berperanan sebagai pembeli bersih sebanyak RM28.1 juta selepas mencatat jualan bersih selama dua minggu berturut-turut.

Purata jumlah dagangan harian pula bercampur-campur dengan peruncit tempatan susut 0.3 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing meningkat sebanyak 2.3 peratus dan 16.8 peratus.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan