AM

FAHMI TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KSU KEMENTERIAN KOMUNIKASI BAHARU

24/11/2025 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menzahirkan harapan agar Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi yang baharu Datuk Abdul Halim Hamzah dapat memikul amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang dalam memacu pentadbiran kementerian.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Abdul Halim di Parlimen.

"Semoga memikul amanah serta tanggungjawab dengan cemerlang. Selamat menjalankan tugas, dan selamat datang ke Kementerian Komunikasi," katanya.

Abdul Halim, 54, yang sebelum ini Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dilantik sebagai KSU baharu Kementerian Komunikasi berkuat kuasa hari ini.

Beliau adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Putra Malaysia.

Abdul Halim telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun, bermula sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah NADMA pada 9 Jun lepas, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Kewangan & Pembangunan) di JPM pada 2023.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan