AM

PEMPENGARUH JANGAN KEJAR SENSASI, SEBALIKNYA SEBAR KEBAIKAN – FAHMI

25/11/2025 05:18 PM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Pempengaruh perlu memikul tanggungjawab besar untuk memperbanyak kandungan yang jujur, beretika dan membawa mesej kebaikan kerana pengaruh golongan itu kini mampu membentuk pola pemikiran generasi muda, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata justeru, pempengaruh perlu lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan supaya tidak menjejaskan keyakinan penonton muda terhadap maklumat yang disampaikan.

“Jadi, saya lihat ada satu trend dalam kalangan anak muda bahawa mereka suka tengok TikTok, tetapi tidak terlalu percaya (kandungannya). Mereka jarang tengok TV, tetapi lebih percaya. Ini satu fenomena yang agak unik, saya harap kita dapat bersama-sama menghasilkan kandungan yang bukan hanya beretika, tetapi juga baik mesejnya.

“Jadi, saya minta pempengaruh atau mereka yang berhasrat ingin menjadi pempengaruh, hasilkanlah kandungan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Bengkel Latihan Belia MADANI Moyog di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Inobong, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Remysta Jimmy Taylor.

Fahmi dalam masa sama berkata kerajaan melihat keperluan untuk mengetatkan akses media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah 16 tahun susulan dapatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang peningkatan kes jenayah seksual dan penipuan yang berpunca daripada platform digital.

“Bagi pihak kerajaan, kita lihat ada keperluan untuk mula memasang ‘pagar’ bagi menghalang anak-anak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial … penjenayah telah berhijrah secara besar-besaran ke dalam platform ini.

“Terbaharu, beberapa bulan yang lepas, kita dengar ada satu operasi, namanya Ops Pedo, sebanyak 31 orang lelaki, berusia antara 12 hingga 71 tahun … ditangkap kerana memiliki lebih 800,000 fail jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena doom scrolling yang menurutnya boleh menyebabkan ketagihan serta menjejaskan perkembangan akhlak dan tumpuan harian remaja.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan