POLITIK

SABAH TEKANKAN AMALAN TATAKELOLA BAIK UNTUK PASTIKAN KEMAJUAN, PEMBANGUNAN - HAJIJI

24/11/2025 02:19 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan keutamaan tinggi terhadap amalan tatakelola baik selaras dengan prinsip integriti yang menjadi tunggak dalam sistem pentadbiran negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata integriti dan tatakelola baik adalah elemen paling penting dalam pentadbiran negeri kerana kedua-duanya adalah kunci utama bagi memastikan Sabah terus berada pada landasan terbaik untuk mencapai kemajuan dan pembangunan negeri yang mampan.

Beliau berkata penekanan tinggi terhadap kedua-dua elemen membuktikan Kerajaan Negeri Sabah adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menitikberatkan kepentingan amalan tatakelola baik dalam memastikan keberkesanan pentadbiran.

“Ya... Kerajaan Sabah yang saya pimpin ini memberi keutamaan kepada soal integriti dan tatakelola yang baik dalam mentadbir, dan ini juga seperti ditekankan oleh pimpinan Kerajaan Persekutuan.

“Ini perlu kita hayati dan ikuti sekiranya kita mahu maju ke depan… Kita tidak boleh lagi memikirkan perkara-perkara atau cara lama dan sebagainya,” kata beliau dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya baru-baru ini.

Meskipun terdapat dakwaan rasuah terhadap kerajaan negeri pimpinannya, Hajiji berkata semua itu hanyalah dakwaan tanpa asas dan lebih bermotifkan kepentingan politik semata-mata.

“Selama lima tahun ini, saya berdepan pelbagai cabaran, pelbagai tohmahan dan pelbagai fitnah serta pembohongan... ada tuduhan-tuduhan yang bermotif tidak baik dan bermotif politik.

“Insya-Allah, kita akan fokus kepada satu sistem yang baik untuk kita mentadbir Negeri Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai usaha menjayakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), beliau tidak menafikan bahawa pihaknya berdepan pelbagai rintangan dalam melaksanakan inisiatif mahupun program yang diperkenal di bawah hala tuju itu termasuk kelewatan dan kekurangan dana.

“Namun, dengan tatakelola yang baik dalam kerajaan negeri, kita berjaya mengatasi segala cabaran ini sehingga apa yang dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

Hala tuju SMJ 1.0 (2021-2025) adalah pelan pembangunan yang merangkumi pelbagai sektor masyarakat dengan fasa pertama memfokus kepada tiga teras iaitu pertanian, industri dan pelancongan sebagai tumpuan pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kebajikan rakyat, serta rangkaian infrastruktur dan kemampanan hijau.

Sebelum ini, Hajiji berkata SMJ 1.0 yang dilancarkan pada 2021 telah merekodkan pencapaian memberangsangkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang digariskan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan hasilnya kini dapat dilihat serta dinikmati oleh rakyat. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan