Daripada M.Saraswathi
NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Kenya hari ini bertukar-tukar pandangan mengenai keamanan serantau, keselamatan dan kerjasama multilateral pada mesyuarat bilateral antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Kenya William Samoei Ruto.
Anwar berkata Malaysia menghargai peranan signifikan Kenya sebagai tuan rumah kepada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedua-dua pemimpin sepakat untuk memperluas kerjasama dalam agenda pembandaran mampan serta pembangunan bandar yang berdaya tahan.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, termasuk isu Palestin dan Sudan, konflik kemanusiaan, perubahan iklim serta keperluan mendesak bagi reformasi sistem antarabangsa agar lebih adil, inklusif dan benar-benar mencerminkan suara negara membangun,” katanya pada sidang media bersama hari ini.
Sementara itu, Ruto berkata kedua-dua pemimpin turut berkongsi komitmen ke arah reformasi aturan kewangan global serta reformasi PBB.
"Kami mengiktiraf usaha Malaysia di rantau Asia Timur dan usaha keamanan Kenya di Afrika Timur dan Tanduk Afrika," kata Ruto.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin turut menzahirkan sokongan terhadap campur tangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam krisis Sudan yang kini semakin teruk melibatkan konflik kemanusiaan.
Selain itu, Ruto berkata Afrika menuntut dua kerusi tetap di Majlis Keselamatan PBB dengan hak penuh termasuk kuasa veto serta dua kerusi tidak tetap tambahan.
“Dengan 54 negara dan penduduk 1.4 bilion orang, adalah tidak adil dan tidak demokratik untuk benua ini terus dikecualikan daripada badan pembuat keputusan tertinggi dunia itu,” katanya.
Ruto menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia kerana menyokong naik taraf dan pembesaran Pejabat PBB di Nairobi, satu-satunya ibu pejabat badan itu di Selatan Global.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kerajaan serta rakyat Malaysia atas lawatan itu.
-- BERNAMA
