Daripada Saraswathi Muniappan
NAIROBI, Nov 24 (Bernama) -- Jadual lawatan rasmi yang padat di Kenya hari ini tidak menghalang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar untuk meluangkan masa bertemu dengan pimpinan Masjid Jamia di Nairobi, sebagai usaha memperkukuh pembangunan ummah bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi juga dakwah.
Anwar berkata pertemuan itu juga membuka ruang untuk beliau dan pemimpin berkenaan bertukar pandangan berhubung usaha pengukuhan institusi serta pembinaan masyarakat yang berakhlak dan berdaya.
“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mengangkat martabat Islam sebagai agama yang menjunjung kesejahteraan, toleransi dan ihsan.
“Dalam konteks ini, saya juga menekankan kepentingan pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Kenya,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan komitmen bahawa Malaysia akan terus berusaha mencetak dan menerbitkan al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan ke seluruh dunia, agar ia menjadi sumber rujukan yang memperlihatkan keindahan, kesederhanaan serta rahmah yang menjadi inti ajaran Islam.
Pada pertemuan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan senaskhah al-Quran edisi khas, selain dua kotak al-Quran terjemahan bahasa Swahili dan bertajwid, sebagai simbol penyebaran ilmu serta ikatan persaudaraan ummah.
-- BERNAMA
