KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Mekanisme pengutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau cukai lain daripada transaksi dalam talian yang melibatkan penjual atau portal luar negara antara yang dbincangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Tan Hong Pin (PH-Bakri) menanyakan Menteri Kewangan mengenai mekanisme berkenaan, termasuk jumlah kutipan daripada transaksi dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Beliau turut ingin mengetahui mengenai barangan import melalui portal luar yang dikecualikan SST serta justifikasinya, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) bertanyakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai langkah kementerian bagi menangani hasil sawah yang rendah, kebanjiran warga asing serta isu tanaman kontan di sawah padi susulan kebanyakan petani semakin menua dan anak muda bekerja di luar.
Turut menarik perhatian adalah soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) kepada Perdana Menteri mengenai langkah kerajaan dalam menambah baik peruntukan undang-undang keluarga Islam sedia ada, khususnya bagi mewajibkan nafkah ibu bapa yang berada dalam keadaan uzur, tiada pendapatan atau tidak mampu menyara diri sendiri, selaras tuntutan hukum syarak.
Selain itu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) menanyakan Perdana Menteri mengenai pelan kerajaan untuk merangka undang-undang baharu bagi menangani kejadian buli yang semakin berleluasa, terutama dalam kalangan kanak-kanak negara ini.
Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
-- BERNAMA
