SANDAKAN, 25 Nov (Bernama) -- Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) meneruskan siri Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT di Kem Sri Kinabatangan, dekat sini sebagai komitmen berterusan yayasan itu memperkasakan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Yayasan LTAT dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi melibatkan 350 orang anggota ATM dan Ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) itu bertujuan menyampaikan maklumat komprehensif mengenai pelbagai inisiatif Yayasan LTAT serta mempromosi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T).
Menurut kenyataan itu, sehingga kini, Program K²T telah melaksanakan 28 kursus merangkumi pelbagai bidang kemahiran dengan penyertaan 952 ahli BAKAT di seluruh negara, sekali gus menggambarkan sambutan menggalakkan program itu.
“Taklimat K²T Fasa 1 telah dilaksanakan di lapan kem melibatkan 1,150 ahli BAKAT, manakala Taklimat Fasa 2 telah dijalankan di lima kem dengan penyertaan 1,250 ahli BAKAT,” menurut kenyataan itu dan menambah sesi itu turut dihadiri Pegawai Memerintah Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Lt Kol M. Idris Odding.
Di samping melaksanakan taklimat inisiatif Yayasan LTAT itu, yayasan turut menyantuni 95 anggota ATM melalui penyampaian sumbangan kebajikan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan kebajikan warga pertahanan.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi MADANI untuk memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan modal insan,” menurut kenyataan itu.
Menurut Yayasan LTAT, jelajah berkenaan akan diteruskan ke baki tujuh lagi kem ATM bagi memastikan warga angkatan tentera di seluruh negara mendapat maklumat terperinci mengenai inisiatif Yayasan LTAT dan Program K²T, sekali gus membuka lebih banyak peluang penyertaan dalam program pembangunan kemahiran untuk warga ATM.
-- BERNAMA
