KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Sabah berada pada landasan kukuh hasil usaha bersama dan kepimpinan yang stabil, ditambah kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming.
Beliau berkata dengan sokongan kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) berperanan selaku rakan dipercayai dalam pentadbiran negeri sebelum ini, Sabah memperoleh antara peruntukan pembangunan tertinggi di negara ini untuk 2026, dengan berjumlah RM6.9 bilion.
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata peruntukan terbabit membentuk asas yang inklusif dan mampan untuk manfaat rakyat Sabah, di samping menekankan hasil tahunan negeri itu meningkat hampir 90 peratus dalam tempoh empat tahun daripada daripada RM3.59 bilion pada 2020 kepada hampir RM6.9 bilion pada 2024, dengan jumlah kutipan melebihi RM26 bilion dari 2021 hingga 2024.
“Keadaan kewangan yang lebih kukuh membolehkan pentadbiran bersama-sama rakan termasuk PH meningkatkan rizab melebihi RM8 bilion serta membuat pelaburan yang sewajarnya untuk rakyat, ekonomi serta masa depan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Nga berkata Kabinet negeri, yang turut dianggotai wakil PH telah meluluskan siling perbelanjaan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion melibatkan 1,173 program dan projek.
Mengenai pelaburan, Nga berkata kemasukan pelaburan asing dan tempatan telah mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan untuk belia Sabah melalui projek termasuk loji keluli hijau bernilai RM19 bilion di Sipitang, inisiatif kerajang tembaga bernilai RM4.2 bilion serta projek pembuatan kaca solar bernilai RM3 bilion di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kudat.
Beliau berkata sebanyak RM4.89 bilion yang disalurkan untuk jalan raya dan infrastruktur dari 2021 hingga 2024 telah memperluas rangkaian jalan di Sabah, manakala sokongan Persekutuan turut membolehkan pelaksanaan 11 projek penjanaan kuasa baharu dan penyiapan empat pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo.
Penambahbaikan itu, katanya telah memberi manfaat kepada keluarga dengan merujuk kepada skim perumahan Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 2022, dengan 7,482 unit rumah telah disiapkan, termasuk projek Putera Kiansom yang terbengkalai selama 23 tahun dan kini telah diselesaikan.
Nga berkata penglibatan PH di peringkat Persekutuan dan negeri kekal penting bagi hala tuju pembangunan Sabah, dan menjelang hari pengundian Sabtu ini, beliau dengan rendah hati merayu rakyat Sabah untuk menyokong pemimpin yang komited kepada khidmat, tadbir urus yang baik, kestabilan dan kemajuan.
“Pilihan raya bukan sekadar tentang memilih wakil rakyat, tetapi juga menentukan masa depan anda inginkan untuk keluarga, komuniti serta negara tercinta,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
