AM

FAHMI UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA WARTAWAN MENINGGAL SELEPAS LIPUTAN BANJIR

26/11/2025 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat wakil Astro Awani di Perlis Mohamad Asri Shafii yang meninggal dunia pada awal pagi tadi. 

Fahmi berkata beliau turut bersedih menerima khabar duka pemergian Allahyarham, yang membuat liputan secara langsung dari Kedah mengenai operasi evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hat Yai, Thailand semalam. 

“Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini.

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di media sosial. 

Asry, 49, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan banjir itu, dipercayai akibat serangan jantung.

Beliau pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak dengan yang bongsu berusia 11 tahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan