AM

RAJA PERLIS BERKENAN SEMPURNAKAN SAMBUTAN 100 TAHUN SK WELLESLEY

26/11/2025 05:27 PM

GEORGE TOWN, 26 Nov (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini berkenan menyempurnakan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley, di sini yang merupakan sekolah rendah pertama baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah hingga hari ini, baginda masih mengingati detik awal menjejakkan kaki ke bumi SK Wellesley pada awal 1950-an, iaitu ketika menuntut ilmu pada tahun satu dan dua yang suasananya penuh disiplin, sarat dengan kasih sayang guru yang sentiasa membimbing dengan sabar, membentuk asas keperibadian dan jati dirinya hingga hari ini.

Baginda bertitah SK Wellesley telah mencapai usia 100 tahun, menandakan satu perjalanan panjang yang penuh dengan sejarah, jasa dan pengorbanan, malah pencapaian itu juga mencerminkan kegigihan warga pendidik, murid, alumni, dan ibu bapa dalam memartabatkan ilmu, akhlak serta budi pekerti anak bangsa sepanjang satu abad.

"Sepanjang 100 tahun kewujudannya, SK Wellesley telah menjadi saksi kepada pelbagai transformasi dalam dunia pendidikan negara, daripada bilik darjah yang sederhana pada awal penubuhannya sehingga kemudahan moden kini, sekolah ini telah menyalurkan ilmu pengetahuan, membentuk sahsiah, dan menanam nilai tanggungjawab dalam diri setiap generasi.

“Amat bangga dan terharu menjadi sebahagian daripada legasi agung ini sebagai seorang Alumni Diraja, SK Wellesley bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga menjadi tapak permulaan yang membentuk insan yang mengenal erti hormat, tanggungjawab, budi pekerti dan keprihatinan terhadap masyarakat," titah baginda ketika menyempurnakan Sambutan 100 Tahun SK Wellesley, di sini hari ini.

Turut hadir Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad serta alumni SK Wellesley.

Raja Perlis bertitah sekolah itu telah melahirkan ramai alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran, pendidikan, perniagaan, sains, teknologi, dan seni dengan masing-masing membawa pengaruh positif dalam pembangunan negara.

Baginda bertitah kejayaan itu ialah bukti bahawa pendidikan yang seimbang antara ilmu dengan akhlak bukan sahaja membentuk kepimpinan yang berwibawa, tetapi juga membina masyarakat yang berintegriti, berdaya saing dan bersatu padu.

"Semangat 'Wellesley 100 Years of Excellence' bukan sahaja menekankan pencapaian masa lepas, tetapi juga menjadi inspirasi untuk memperkukuh pendidikan masa depan, dengan menekankan kesedaran tentang ilmu pengetahuan, nilai moral dan kepelbagaian budaya yang harmoni," titah baginda.

Terdahulu pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin bersama-sama Raja Perempuan turut berkenan menandatangani buku pelawat SK Wellesley dan melancarkan Alumni SK Wellesley serta simbolik pelancaran Buku Kenangan sekolah itu (1925-2025) "100 Years of Excellence".

-- BERNAMA


 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan