POLITIK

PRN SABAH: RAKYAT SUDAH MATANG, PILIH DENGAN BIJAK - ANWAR

27/11/2025 05:56 PM

KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan rakyat Sabah memiliki kematangan politik yang tinggi untuk memilih wakil rakyat terbaik bagi kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Sabtu ini.

"Saya harap Sabah mengambil keputusan yang bijak. Rakyat sudah matang dan memilih dengan baik. Saya datang untuk memberi ruang kepada mereka supaya hubungan negeri dengan Persekutuan baik," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Dialog Awam PMX Sayang Sabah Bersama Pemuda Inanam di sini hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata lawatan kerja beliau selama dua hari ke negeri ini bertujuan memberikan sokongan moral kepada semua calon PH yang bertanding.

Terdahulu, dalam sesi berkenan, Perdana Menteri berkata golongan muda Sabah penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri dengan memilih  pemimpin bertanggungjawab dan berintegriti.

"Anak-anak muda sekarang akan menentukan corak masa depan. Anda pilih. Anda mahu menjadikan Malaysia dan Sabah lebih gemilang atau mahu memusnahkan negara ini. Jika anda mahu menjadikan Malaysia hebat, maka marilah kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan,” kata Anwar.

Sebanyak 1.76 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab pada PRN Sabah ke-17 Sabtu ini, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan