AM

MTL: PGA PASANG KAWAT DURI DI JETI HARAM, PERKETAT KAWALAN SEMPADAN

26/11/2025 08:26 PM

PASIR MAS, 26 Nov (Bernama) -- Meskipun berdepan dengan cuaca tidak menentu akibat Monsun Timur Laut (MTL), Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) tetap memperketat kawalan di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand, terutamanya di Rantau Panjang, dengan memasang kawat duri concertina di tiga jeti haram yang telah dirobohkan pada bulan lepas.

Komander PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata pemasangan akan dilakukan di kawasan pangkalan haram MCA, Jeram Perdah dan Tanjong dengan jeti haram Gergaji di Rantau Panjang akan menjadi lokasi pertama.

“Bagi fasa pertama, kita menerima peruntukan sebanyak RM100,000 untuk pemasangan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pemasangan halangan itu di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Ahmad Radzi berkata walaupun berdepan cuaca buruk, kawalan di sempadan tetap dipertingkatkan bagi mengelak aktiviti jenayah rentas sempadan kerana pihak tidak bertanggungjawab dipercayai akan mengambil kesempatan ketika musim tengkujuh.

Sementara itu, beliau berkata dua pos kawalan PGA, iaitu Pos Ibrahim Pencen dan Pos Sharifah terjejas apabila dinaiki air antara 0.5 hingga lebih satu meter.

"Semua barangan milik kerajaan telah dipindahkan ke kawasan lebih tinggi dan selamat, manakala anggota masih ditempatkan di pos berkenaan, sekiranya keadaan semakin teruk atau mencapai tahap bahaya, anggota akan dipindahkan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata PGA turut menyiapkan aset serta kekuatan anggota untuk membantu mangsa banjir sepanjang tempoh MTL.

"Kita menyediakan enam bot, dua lori dan empat kenderaan pacuan empat roda bagi membantu masyarakat setempat yang terjejas," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan