KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pintu-pintu masuk utama negara bakal dilengkapi dengan mesin pengimbas baharu dan lebih canggih bagi memastikan proses pemeriksaan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan seterusnya membanteras jenayah penyeludupan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan sedang menjalankan penilaian komprehensif terhadap mesin pengimbas yang digunakan berikutan sebahagiannya telah pun mencapai tahap usia tertentu dan perlu diganti.
Beliau berkata ini termasuk mesin pengimbas kargo kontena, barangan penumpang serta pengimbas badan yang kini diambil alih secara berperingkat oleh Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Satu proses penilaian komprehensif sedang dilaksana bukan sahaja dari segi teknikal, tapi juga melibatkan faktor kos penyelenggaraan jangka panjang, keberkesanan operasi, kebolehupayaan teknikal serta sokongan selepas jualan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu penambahbaikan dalam kawalan pemeriksaan kastam terhadap bagasi di semua lapangan terbang serta pemantauan berkala untuk memastikan kecekapan pegawai pemeriksa supaya isu penyeludupan dapat ditangkis dengan rapi.
Shamsul Anuar berkata proses itu turut mengambil kira teknologi terkini di pasaran antarabangsa seperti pengimbas tenaga tinggi untuk kontena besar yang dibangunkan Amerika Syarikat, sistem CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) berevolusi tinggi bagi bagasi penumpang dari Jerman dan mesin pengimbas mudah alih digunakan di pintu masuk darat yang dihasilkan China.
“Selain itu, pengeluar dari United Kingdom dan Jepun juga mempunyai kepakaran dalam teknologi pengesan radiasi. Kajian menyeluruh terhadap teknologi dari negara-negara ini akan membantu kerajaan memastikan perolehan mesin benar-benar memberikan nilai terbaik pada negara,” katanya.
-- BERNAMA
